Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENGANJURAN Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke 20 yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Johor bakal dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun depan.
Namun Johor tetap berpeluang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukma edisi ke 21 yang akan diadakan pada 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang diadakan hari ini bagi mendapatkan pelaporan status terkini penganjuran Sukan Malaysia Ke XX dan Sukan Para Sukma ke XX, Johor 2020 dari Sekretariat Sukma Johor 2020.
Katanya, mesyuarat ini telah dihadiri Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia dan semua wakil dari negeri – negeri yang terlibat termasuk pihak Kerajaan Negeri Johor.
“Mesyuarat turut dihadiri oleh Pengelolaan Sukan Para Sukma pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 dijadualkan pada 2 hingga 10 April 2021 telah dibatalkan disebabkan oleh penularan jangkitan COVID-19,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ahmad Faizal yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia tersebut memaklumkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju agar penganjuran Sukan Malaysia 2022 oleh Negeri Johor ditangguhkan kepada tahun 2024.
Tegasnya lagi, Jawatankuasa Tertinggi juga bersetuju agar Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukan Malaysia 2022 dan Sukan PARA Sukma 2022 di Kuala Lumpur.
“Tarikh penganjuran kedua-dua temasya berkenaan akan dicadangkan oleh pihak MSN untuk kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia / Para Sukma akan datang.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan pelaksanaan temasya ini,” tegasnya.
Untuk rekod, Sukma Johor sepatutnya berlangsung dari 11 hingga 22 Julai tahun lalu sebelum tarikh penganjuran terpaksa dianjak dua kali pada Mac 2021 dan April 2021 disebabkan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican terpaksa membuat keputusan membatalkan Sukma 2020 dan memberikan semula hak penganjuran edisi 2022 kepada Johor untuk dianjurkan tahun depan.
Add Comment