Semasa

Usah jadi macam Indonesia dan Thailand – Ahmad Faizal


Ahmad Faizal pada majlis perasmian Anti Doping 2021.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mahu Malaysia menjadi seperti Indonesia dan Thailand yang disenaraikan sebagai negara ‘tidak patuh’ kepada kod anti doping dunia dan peraturan anti doping.

Tegasnya, jika situasi ini berlaku itu tentunya memberi impak negatif kepada atlet dan juga industri sukan.

“Ingin saya tekankan di sini sebagai badan sukan induk dan badan sukan kebangsaan, anda semua adalah bertanggungjawab dan tertakluk kepada pematuhan kepada kod anti doping dunia dan peraturan anti doping masing-masing selaras standard antarabangsa.

“Di samping itu juga, anda hendaklah menghormati autonomi ADAMAS (Agensi Anti Doping Malaysia) selaku badan anti doping kebangsaan dan melaporkan sebarang salah laku dan pelanggaran peraturan anti doping dalam kalangan atlet atau pegawai sokongan atlet.

“Saya yakin, apabila semua pihak bekerjasama dalam memastikan Malaysia patuh kepada kod dan peraturan anti doping ini, kita tak akan khuatir sekiranya kelak diaudit oleh WADA (Agensi Anti Doping Dunia).

“Apa yang menjadi kerisauan kita adalah sekiranya Malaysia tersenarai sebagai ‘tidak patuh’ sebagaimana yang berlaku kepada dua buah negara jiran kita iaitu Thailand dan Indonesia,” jelasnya pada majlis perasmian Seminar Anti Doping Kebangsaan 2021.

Ujarnya, ketidakpatuhan ini merugikan negara kerana bukan setakat kita akan hilang kelayakan menganjurkan sebarang kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.

“Atlet negara juga tidak dibenarkan mengibarkan bendera negara di mana-mana kejohanan sukan di peringkat antarabangsa yang disertai.

“Justeru itu, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan negara kita sentiasa dalam kedudukan patuh,” katanya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: