Semasa

Akta Anti Doping 2021 akan dikuatkuasakan 2023


Ahmad Faizal (tengah) pada majlis Perasmian Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Hotel Tenera Bangi, hari ini.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

KERAJAAN akan menguatkuasakan Akta Anti-Doping Malaysia 2021 dalam tempoh dua tahun lagi yang bakal dijadikan panduan undang-undang sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi memastikan pendayaupayaan ADAMAS dipertingkatkan, pembangunan Akta Anti-Doping Malaysia 2021 kini sedang giat dibangunkan bersama ADAMAS .

“Ia memerlukan masa dimana prosesnya bermula ketika ini dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya pada majlis Perasmian Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Hotel Tenera Bangi, hari ini.

Menurutnya, sebanyak tujuh siri sesi libat urus bersama seramai lebih dari 1,300 orang pihak pemegang taruh telah dilaksanakan sejak dari bulan September hingga Oktober 2021.

“Hasil dapatan dari soal selidik yang dijalankan mendapati bahawa majoriti peserta bersetuju dengan hasrat KBS membangunkan Akta Anti-Doping ini didalam usaha memastikan gejala doping dapat dikawal di dalam negara kita.

“Melalui kerjasama dengan Akademi Kejurulatihan Malaysia di Institut Sukan Negara (ISN) sejak tahun 2019, silibus anti-doping buat pertama kalinya telah dimasukkan sebagai salah satu subjek wajib untuk para jurulatih melalui Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1,2 dan 3,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Kursus Pengurusan badan sukan turut memuatkan anti-doping di dalam silibus kursus tersebut disamping kerjasama melibatkan penyelarasan Pendidikan dan pengujian para atlet dibawah projek PODIUM dan pelapis seliaan MSN.

“Pelbagai inisiatif kerjasama rentas telah diadakan antara ADAMAS dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi,Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Sukan Negeri serta Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Negeri.

“Pembangunan kapasiti melibatkan kumpulan pengerak anti-doping seperti Pegawai Kawalan Doping dan Pengajar anti-doping kini giat dilaksanakan bersama pihak Majlis Sukan Negeri,termasuklah dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: