Bola Sepak Komentar

Mengecewakan! Tiada wakil FAS atau Selangor FC pada perasmian Galeri Selangor Hall of Fame


Pelbagai koleksi barangan seperti piala, pingat dan jersi yang pernah dipakai oleh lagenda Selangor yang mempunyai nilai sejarah tersendiri ada di Galeri Selangor Hall of Frame ini.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

GALERI Selangor Hall of Fame secara rasminya telah dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari petang tadi di Stadium Shah Alam.

Lebih seribu koleksi barangan seperti piala, pingat dan jersi yang pernah dipakai oleh lagenda Selangor serta barangan lain yang mempunyai nilai sejarah tersendiri ada di Galeri Selangor Hall of Frame ini.

Tahun ini genap 100 tahun kejohanan bola sepak terulung negara, Piala Malaysia dianjurkan selepas mula diperkenalkan pada tahun 1921 dengan Selangor telah muncul juara sebanyak 34 kali.

Dalam tempoh tersebut, kita dapat menyaksikan jaguh-jaguh bola sepak telah dilahirkan antaranya Allahyarham tan Sri Abdul Ghani Minhat dan semestinya Allahyarham Mokhtar Dahari atau SuperMokh antara lagenda yang pernah menyarung jersi Selangor sekaligus meletakkan nama Selangor gah dipentas sukan negara ini.

Namun sedikit mengecewakan apabila tiada wakil dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mahupun Selangor FC yang hadir untuk sama-sama menyaksikan acara bersejarah ini yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Amirudin menurunkan tandatangan sebagai tanda perasmian Galeri Selangor Hall of Frame.

Berdasarkan jemputan awal kepada media, majlis ini diadakan pada semalam (Sabtu) namun ditunda ke hari ini malah difahamkan juga sudah terdapat pengesahan dari FAS tentang kehadiran.

Tetapi berdasarkan pertanyaan kepada tetamu sehingga selesai majlis kelibat individu dari FAS mahupun Selangor FC tidak kelihatan yang dapat disahkan kehadiran adalah tokoh lagenda Selangor antaranya Datuk Santokh Singh serta beberapa pemain lain.

Jadi persoalannya adakah Galeri Selangor Hall of Frame yang memaparkan kejayaan gemilang Selangor sebelum ini dianggap tidak penting walaupun dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: