Bola Sepak

Skuad B-22 kini bersedia sepenuhnya – Maloney


Maloney melihat pemainnya mampu mengikut setiap perancangan yang diterapkan kepada mereka.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Skuad B-22 negara, Brad Maloney melihat keupayaan anak buahnya semakin meningkat sekali gus yakin mampu memberi tentangan sengit pada perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23 tahun (B-23) di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Keyakinan ini berdasarkan tiga perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC dengan menunjukkan peningkatan positif dan mampu mengikut setiap perancangan yang diterapkan kepada mereka.

Katanya, semua pemain mempamerkan peningkatan corak permainan dan ia adalah satu perkara positif dalam usaha membentuk pasukan mantap.

“Kita akan menggunakan peluang dan masa yang ada untuk membuat persediaan rapi. Sememangnya tiga perlawanan persahabatan sebelum ini banyak mengajar mereka untuk bermain lebih baik,” katanya.

Mengikut rekod, skuad B 23 negara bakal mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Malaysia yang mempertaruhkan rata-rata pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J  untuk merebut 15 slot beraksi di pusingan akhir.

Pasukan itu menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: