Bola Sepak

Selesai semua tunggakan gaji hujung bulan ini – Posa


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PRESIDEN Sarawak United, Datuk Posa Majais memberi jaminan penuh akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Namun pada masa sama dia ternyata hairan dengan beberapa pemainnya yang tidak menganggap bayaran pendahuluan sebagai gaji hingga menimbulkan isu tunggakan gaji.

“Beberapa pemain yang memohon wang pendahuluan, kita berikan kepada mereka walaupun belum tiba gaji, jadi bukanlah ini juga dianggap sebagai gaji bulanan pemain.

“Tunggakkan gaji ini hanya melibatkan segelintir pemain sahaja, bayaran RM50,000 telah diberikan kepada salah seorang pemain import dan selebihnya akan dijelaskan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Bukan pemain import itu sahaja tetapi semua pemain akan mendapat gaji mereka,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Khamis lalu, Pengerusi  First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan Sarawak United FC yang juga Naib Juara Liga Premier musim ini berdepan hukuman berat termasuklah ditarik balik lesen kelab seandainya gagal menjelaskan tunggakan hutang beberapa pemain utamanya.

Selain itu, Sarawak United juga boleh dikenakan larangan perpindahan pemain serta diturunkan pangkat.

“Sarawak United FC harus menyerahkan pembayaran / bukti penyelesaian atas hutang tertunggak mereka terhadap LHDN 2021 kepada Pelesenan Kelab MFL selewat-lewatnya pada 20 Nov 2021.

“FIB juga akan meminta lebih banyak maklumat kewangan dari Sarawak United FC kerana keraguan terhadap kemampuan pemegang lesen untuk terus mencetuskan kebimbangan berterusan sehingga akhir musim. Pentadbiran Pelesenan Kelab MFL akan melakukan lawatan ke lokasi untuk tujuan siasatan selanjutnya.

“Sekiranya Sarawak United FC gagal bekerjasama atau memenuhi syarat dengan cara apa pun, perkara akan diajukan kepada FIB dan sekatan berdasarkan Artikel 2.4 Peraturan Kelab MFL 2021 boleh dikenakan termasuk tetapi tidak terbatas pada pemindahan larangan, penyingkiran ke pembahagian bawah dan pengeluaran lesen,” jelasnya pada sidang media Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) First Instance Body (FIB).

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: