Bola Sepak

Sikh Izhan sah jalani sesi percubaan dengan kelab CF Fuenlabrada


Sikh Izhan (tengah) bakal menjalani sesi latihan dengan kelab Sepanyol, 10 November nanti.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENJAGA gawang Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman akan menjalani sesi percubaan dengan kelab Divisyen 2 Sepanyol,  CF Fuenlabrada pada 10 November ini.

Ujarnya kepada CAKAPSUKAN, dia kini bersedia sepenuhnya untuk berhijrah bagi menimba pengalaman dan pengurusan Selangor FC juga menyokong hasratnya itu.

“InsyaAllah saya akan menjalani sesi percubaan dengan kelab Divisyen 2 Sepanyol,  CF Fuenlabrada, 10 November ini selepas tamatnya kejohanan Kelayakan Piala Asia B-23 2022, 25 hingga 31 Oktober 2021.

“Jika diberikan peluang memang saya mahu berhijrah ke tempat lain, bukan kata Liga Malaysia tidak bagus tapi saya nak cari pengalaman yang bagus.

“Berkenaan kontrak itu saya tidak pasti lagi, saya pergi untuk latihan percubaan sahaja,” jelasnya di temui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Sikh Izhan antara beberapa penjaga gawang yang disenaraikan Brad Maloney dalam skuad B-22 tahun negara berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia, bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2022, 25 hingga 31 Oktober 2021.

Ditanya mengenai kontraknya bersama Selangor FC, anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang ini tetap menghormati kontraknya bersama majikan ketika ini malah Selangor FC juga tidak mempunyai masalah untuk melepaskannya.

“Selangor FC adalah majikan yang memahami malah menyokong saya sepenuhnya serta berharap agar dapat bermain di luar negara untuk mendapatkan pengalaman yang baru,” tegasnya.

Mengulas saingan merebut tempat selaku penjaga gawang dalam kejohanan B22 negara nanti, penjaga gawang berusia 19 tahun ini mahu menjadikan pentas kejohanan berprestasi tinggi ini sebagai pentas untuk menarik perhatian pihak-pihak luar.

“Bagi saya kejohanan ini satu tanda aras yang bagus untuk buka mata ejen luar dan nilai dari satu pertandiangan peringkat tinggi, ini perkembangan yang baik untuk saya terus memperbaiki corak permainan fizikal,” ujarnya.

Sikh merupakan salah seorang daripada penjaga gol muda yang dilabel mempunyai masa depan cerah untuk terus menyinar selepas beliau sebelum ini pernah membarisi skuad kebangsaan bawah 16 tahun (B-16), B-18 dan B-19.

Menyertai Selangor 2 pada tahun lalu dari Akademi Mokhtar Dahari, anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang ini menikmati empat penampilan bersama skuad pembangunan itu pada musim pertamanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: