Bola Sepak

Selepas AFC kini FIFA iktiraf Akademi Mokhtar Dahari, bukti PPBN di landasan tepat


Oleh: SURYATI MOHD NOR

SELEPAS tujuh tahun Akademi Mokhtar Dahari (AMD) rasmi ditubuhkan ianya kini sudah mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dikala pelbagai isu atau spekulasi yang timbul melibatkan AMD atau Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), akademi ini dengan tenang terus menjadi ‘kilang’ melahirkan pemain-pemain muda berbakat untuk negara.

Tahun lalu AMD menerima status Dua Bintang sebagai Akademi Remaja Elit daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas Timbalan Pengarah Teknikal Laszlo Szalai membuat lawatan dan penilaian mengenai program di AMD.

“Pertama kali saya melawat AMD, saya sangat kagum. Akademi mencapai standard dan keperluan seperti di kelab-kelab Eropah. Persediaan dan penyelenggaraan padang yang baik termasuk kelas-kelas belajar dan juga kemudahan lain.

“Saya boleh bayangkan semangat dan motivasi semua pemain berada dalam persekitaran cemerlang seperti ini.

Fasiliti yang selesa disediakan di AMD. Foto: FB AMD

“Dan sudah tentu, saya melihat pemain-pemain muda dan semua jurulatih bekerja ketika sesi latihan.

“Dalam semua bahagian, anda boleh lihat tahap profesional dan permintaan di akademi ini.

“Jelas sekali program latihan dan pelajaran di akademi ini berada dalam arah yang sangat baik dan berharap ia boleh menjadikan bola sepak lebih sukses di Malaysia,” jelasnya.

Namun apa yang lebih membanggakan komuniti akademi tahun ini apabila FIFA telah membuat penilaian terhadap Program Pembangunan Bakat dan secara jelas bersetuju serta mengiktiraf program di AMD ini.

Double Pass yang merupakan rakan kongsi FIFA sebagai pakar penilai Program Pembangunan Bakat menjelaskan akademi ini mempunyai visi yang jelas mengenai program pembangunan.

Dedah Double Pass, AMD juga menunjukkan visi yang tepat dalam mengimbangi pembangunan setiap pemain dan menyasarkan kejayaan pasukan.

Lebih penting lagi DNA yang digunakan dalam program di akademi ini berada di landasan betul. Ia termasuk hubungan gaya permainan di antara setiap peringkat umur.

Kemudahan yang disediakan di AMD mencapai standard AFC dan FIFA. Foto: FB AMD

Begitu juga dengan kakitangan akademi iaitu jurulatih dan tenaga pengajar yang mencapai standard High-Level Academy.

“Sebagai sebahagian daripada Projek Prestasi Tinggi FIFA, kami melakukan analisis mendalam mengenai Akademi Mokhtar Dahari.

“Kami melakukan temubual bersama kakitangan, mengkaji dokumen dan menganalisis sesi latihan rujukan. Secara keseluruhan, AMD mempunyai kualiti dan tahap pengkhususan yang tinggi.

“AMD beroperasi sebagai salah sebuah pusat latihan berprestasi tinggi elit di Malaysia.

“Tahap profesionalisme daripada semua kakitangan sangat baik terhadap program ini. Tahap kepimpinan sangat ramah dan terbuka untuk berkongsi maklumat dan memberikan maklum balas yang jujur mengenai program ini. Dokumen, data dan video diserahkan tepat pada waktunya dan temubual secara terbuka dan jujur.

“Akademi mempunyai visi yang jelas untuk mengimbangkan perkembangan pemain secara individu dan berusaha untuk kejayaan sebagai sebuah  pasukan.

Penyelenggaraan padang yang baik turut dinilai AFC. Foto: FB AMD

“Aspek utama yang paling menonjol sepanjang analisis dijalankan adalah kemudahan dan infrastruktur, struktur organisasi, pengurusan individu, falsafah bola sepak yang didokumentasikan dengan jelas, rancangan pengembangan bakat pemain secara individu, bahagian kesihatan dan prestasi, pelaksanaan strategi  dengan baik untuk mengenalpasti dan merekrut bakat.

“Untuk projek ini, sebanyak 377 akademi bola sepak elit dari seluruh dunia dianalisis berdasarkan 230 kriteria dengan tujuh dimensi. Sebanyak 75 standard antarabangsa telah digunakan. Skor maksimum yang dicapai oleh sesebuah akademi ialah 74 dan AMD mencatat 53 mata. Keputusan baik ini adalah buktinya (program betul), manakala catatan median antarabangsa adalah 37.

Untuk rekod, AMD ditubuhkan secara rasmi pada 10 April 2014 mempunyai kemudahan yang setaraf dengan sekolah berasrama penuh lain bagi menampung program pembelajaran setempat dan antarabangsa bagi semua pemain yang berada di sini.

Selari dengan perkembangan semasa, AMD kini telah menaiktaraf sistem pengurusan secara digital untuk mengumpul data semua jurulatih dan pemain di seluruh Malaysia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: