
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENGURUS pasukan Skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Posa Majais menyifatkan barisan pemain yang dihimpunkan Brad Maloney menyakinkan dan mampu meraih keputusan positif dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2022, 25 hingga 31 Oktober 2021.
Jelasnya, selepas mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super dan Premier, pemain yang dibawa kali ini betul-betul menyakinkan dan bersedia sepenuhnya mengharungi kejohanan.
“Pasukan terbaik yang kita hantar, apabila kita adakan perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman, kita dapat menilai kemampuan yang dimiliki.
“Pemain yang dibawa kali ini memiliki kelebihan dari segi bentuk badan, kekuatan fizikal dan juga mental serta corak permainan, jadi saya yakin pasukan akan meraih keputusan positif,” ujarnya yang turut serta bersama delegasi pasukan sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Skuad B-22 negara kali ini diperkuatkan dengan empat pemain Harimau Malaya iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan Luqman Hakim Shamsudin yang pastinya mampu memberikan impak kepada pasukan.
Skuad negara akan bertemu Laos pada 25 Oktober 2021 jam 3.00 petang diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober 2021 (11.00 pagi) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi) bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.
Ketiga-tiga perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan.
Add Comment