Bola Sepak

Gara-gara “tunggakan baru dua bulan setengah”, Sarawak United FC berdepan hukuman berat


Pengerusi FIB Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

NAIB Juara Liga Premier musim ini, Sarawak United FC berdepan hukuman berat termasuklah ditarik balik lesen kelab seandainya gagal menjelaskan tunggakan hutang beberapa pemain utamanya.

Pengerusi  First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata selain itu Sarawak United juga boleh dikenakan larangan perpindahan pemain serta diturunkan pangkat.

“Sarawak United FC harus menyerahkan pembayaran / bukti penyelesaian atas hutang tertunggak mereka terhadap LHDN 2021 kepada Pelesenan Kelab MFL selewat-lewatnya pada 20 Nov 2021.

“FIB juga akan meminta lebih banyak maklumat kewangan dari Sarawak United FC kerana keraguan terhadap kemampuan pemegang lesen untuk terus mencetuskan kebimbangan berterusan sehingga akhir musim. Pentadbiran Pelesenan Kelab MFL akan melakukan lawatan ke lokasi untuk tujuan siasatan selanjutnya.

“Sekiranya Sarawak United FC gagal bekerjasama atau memenuhi syarat dengan cara apa pun, perkara akan diajukan kepada FIB dan sekatan berdasarkan Artikel 2.4 Peraturan Kelab MFL 2021 boleh dikenakan termasuk tetapi tidak terbatas pada pemindahan larangan, penyingkiran ke pembahagian bawah dan pengeluaran lesen,” jelasnya pada sidang media Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) First Instance Body (FIB), pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais memberitahu pihak pengurusan turut melunaskan tunggakan hampir sebahagian besar gaji pemain pada minggu ini dengan ada yang bakal diselesaikan pada minggu depan.

Posa Majais

“Tunggakan baru dua bulan setengah tetapi riuh sekampung sedangkan ada pasukan lain yang tertunggak lebih lama. Pemain yang lama dengan saya akan faham situasi seperti ini,” ujarnya kepada Berita Harian.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Sheikh Mohd Nasir memaklumkan sebanyak 12 pasukan yang bertanding di Liga Super 2021 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super 2022 sekiranya memenuhi syarat.

Tambahnya, kelab-kelab yang diberikan lesen kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, UiTM FC, Melaka United FC, Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC.

“Bagaimanapun, Melaka United FC diberikan lesen kebangsaan dengan sekatan denda RM15,000 dan diberikan amaran kerana melanggar tarikh akhir penyelesaian pembayaran tertunggak mereka membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu pada 30 September 2021.

“Pembayaran denda yang dipersetujui haruslah dijelaskan pada 20 November  2021 dan mereka dikehendaki menghantar bukti pembayaran kepada Pelesenan Kelab MFL dan jika tidak, perkara tersebut akan dikemukakan kepada FIB Perlesenan MFL Club untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya yang memaklumkan keputusan diambil semasa mesyuarat Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) First Instance Body (FIB) pada 20 dan 21 Oktober 2021.

Menurutnya lagi, Melaka United FC gagal mendapatkan lesen AFC mereka kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pelesenan AFC.

“Daripada 12 kelab yang disebutkan di atas, 10 daripada kelab tersebut ialah JDT, KDA FC, UiTM FC, Perak FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC juga diberikan lesen AFC bagi membolehkan kelab-kelab ini bertanding dalam Pertandingan Kelab AFC 2022 sekiranya layak manakala Sri Pahang FC tidak memohon lesen AFC.

“Lima pasukan yang bertanding di Liga Premier 2021 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan oleh itu membolehkan mereka bertanding dalam Liga Super 2022 atau Liga Premier 2022 jika layak.

“Lima kelab yang diberikan lesen kebangsaan itu adalah Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC. Baki satu kelab iaitu Sarawak United FC telah diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat,” katanya.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: