Bola Sepak

Luqman akui semua pemain ada kehebatan sendiri


Luqman menjalani latihan pertama bersama pasukan di Ulaanbaatar. Foto: FAM

Oleh : SUBKHI SUDARJI

STATUS selaku penyerang Harimau Malaya dan pemain yang berkelana di Eropah bukan jaminan buat penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, untuk memperolehi ‘tiket’ mudah berada dalam kesebalasan utama pada Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia, bermula 25 hingga 31 Oktober nanti.

Luqman memberitahu, biarpun beraksi dengan kelab Belgium, KV Kortrijk sejak tahun lepas, dia mengakui situasi itu bukanlah jalan mudah untuk menjadi penggempur utama negara.

“Pemain lain juga mempunyai keistimewaan sendiri dalam usaha memikat hati ketua jurulatih, Brad Maloney, untuk tersenarai dalam kesebelasan utama negara pada saingan kelayakan itu nanti.

“Untuk saya sendiri persaingan agak sukar kerana pemain lain ada kehebatan sendiri. Orang ingat saya dah main luar namun saya tak ambil mudah pandangan sedemikian.

Pasukan B-22 negara menjalani latihan dalam cuaca sejuk di Ulaanbaatar.

“Terpulang kepada coach untuk menilai, tugas pemain seperti saya hanya buat yang terbaik dan bekerja keras di dalam setiap sesi latihan dijalankan,” katanya ketika ditemui di KLIA sebelum berlepas ke Mongolia pada Rabu.

Pada kempen kelayakan itu nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Okt, Mongolia (28 Okt) dan Thailand (31 Okt) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.

Dalam perkembangan sama, Luqman percaya rakan sepasukannya mampu mengadaptasi dengan cuaca sejuk sepanjang saingan berkenaan berlangsung di Mongolia.

Luqman mengakui walaupun cuaca sejuk mampu menggaggu tahap pernafasan para pemain, namun beliau yakin tempoh empat hari sejak tiba di Mongolia hari ini, sebelum membuka tirai kempen kelayakan Ahad ini membantu mereka menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: