Bola Sepak

Kemenangan ‘tonik’ skuad B-22 ke atas Penang FC


Aksi pemain muda negara bertemu Penang FC pada Jumaat.

Oleh: JJFIRDAUS/ Foto: IZARI ROSLI

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-1 menentang pasukan tempat ketiga Liga Super, Penang FC dalam aksi persahabatan sebagai persediaan ke Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-23 2022.

Pengendali Brad Maloney menurunkan pemain yang berbeza berbanding ketika menentang Negeri Sembilan Isnin lalu dalam usaha mencari kesebelasan terbaik buat skuad muda negara.

Bermain dalam cuaca panas, Penang FC membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh Amer Azahar pada minit ke-22 untuk meletakkan Penang FC mendahului 1-0.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan Penang FC mendapat peluang terbaik menambah gol tetapi percubaan Fadhil Idris dan Sheridin Boboev sedikit tersasar meskipun penjaga gol sudah tertewas.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad muda negara lebih banyak menguasai permainan dan mengasak bertubi-tubi ke kubu lawan dengan beberapa percubaan berbahaya.

Keadaan kelam kabut dalam petak penalti Penang FC pada minit ke-62 gagal disempurnakan oleh para pemain negara walaupun hanya berhadapan penjaga gawang.

Pasukan B-22 negara menang 2-1 ke atas Penang FC.

Beberapa pertukaran yang dilakukan memperlihatkan perubahan corak permainan skuad negara dan akhirnya pada minit ke-71 Muhammad Syafik Ismail berjaya menolak bola ke gawang terbuka untuk mengikat kedudukan 1-1.

Ketika permainan berbaki empat minit, Nik Akif Syahiran berjaya meletakkan skuad negara di hadapan menerusi satu ‘tap in’ mudah untuk memberikan kelebihan 2-1 sekaligus gol kemenangan.

Kemenangan ini pastinya memberi tonik kepada pengendali negara dengan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kedah pada Isnin, 18 Oktober nanti sebelum berangkat ke Mongolia pada 20 Oktober.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: