
Oleh : SUBKHI SUDARJI
SELEPAS ditunda beberapa kali, penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung tahun ini akan tetap dilaksanakan tahun depan
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan untuk mendapatkan tarikh sebenar kejohanan sedang dijalankan dengan Kerajaan Negeri Johor selaku tuan rumah penganjuran Sukma tahun depan.
“Kita akan pastikan Sukma ini mesti dijalankan kerana semua faham Sukma ini mempunyai bakat-bakat atlet berusia 23 tahun kebawah, kalau ditunda lagi maka ramai yang tidak berpeluang ambil bahagian.
“KBS akan teruskan cara mana, bagaimana dan kaedah mana, apa yang pasti penganjuran Sukma dan Para Sukma ini tidak akan bertindih dengan tiga kejohanan Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan,” jelasnya.
Untuk rekod penganjuran Sukma Johor 2020 dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac manakala Para Sukma 2020 dijadual 5 hingga 10 April 2021 ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.
Dalam perkembangan berasingan, KBS akan menyatakan pendirian dan keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman kes siasatan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.
“Saya dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Dalaman, Tan Sri Borhan Dolah tidak akan memanggil lagi mana-mana saksi tambahan dan akan membuat cadangan keputusan.
“Buat masa ini Kementerian masih belum menerimanya lagi dan kita akan maklumkan apa keputusan dan tindakan yang akan diambil kerajaan selepas mendapat laporan tesebut.
“Saya jangkakan dalam minggu ini KBS akan menerima laporan berkenaan,” jelasnya.
Add Comment