Bola Sepak

“Bola sepak negara ‘is going nowhere’…”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Mohd Azraai mengakui selagi polisi lima pemain import terus diguna, pemain-pemain tempatan tetap tidak akan ke mana-mana. Foto kredit: NSTP

Oleh: SURYATI MOHD NOR

BEKAS jurulatih berpengalaman negara, Mohd Azraai Khor Abdullah yakin ‘trip’ skuad Harimau Malaya ke Jordan mengharungi dua perlawanan persahabatan merupakan sesuatu yang positif bagi pasukan kebangsaan.

Mohd Azraai yang merupakan bekas pemain kebangsaan dan pernah membimbing skuad Harimau Muda negara ini memberitahu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe pastinya mempunyai visi sendiri untuk membawa ‘ke mana’ pasukan ini.

“Beliau bawa pasukan terutama pemain muda untuk mencari kombinasi terbaik supaya apabila balik ke sini Cheng Hoe boleh menyatukan pemain-pemain yang menyerlah dengan yang lain.

“Kalah 4-0 (kepada Jordan) dan 5-1 kepada Uzbekistan bukanlah yang mengejutkan. Tetapi pasukan ke sana bukan untuk menang pun, namun lebih kepada pendedahan untuk pemain muda. Satu pengalaman yang baik.

Cheng Hoe pastinya mempunyai misi sendiri apabila membawa skuad Harimau Malaya ke Jordan. Foto: FAM

“Sudah tentu sebagai jurulatih, Cheng Hoe percaturan sendiri untuk menyatukan pemain-pemain yang terbaik, dan kita perlu bagi masa kepadanya. Jangan pula kita sebagai penyokong atau netizen hanya pandai memberi komen-komen yang negatif.

“Sebagai bekas jurulatih, saya memahami perasaan Cheng Hoe mempunyai banyak benda yang ingin diluahkan tetapi ‘tidak boleh’ kerana terikat dengan tugas negara,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Jelas bekas pemain tengah yang berusia 68 tahun ini, hakikat sebenar yang perlu ditelan bagi peminat bola sepak negara adalah bola sepak negara tidak akan ke mana-mana selagi polisi lima pemain import masih dikekalkan dalam pasukan liga utama.

“Pandangan netizen suruh tukar jurulatih, memang senang. Kalau mereka pandai, pergi ambil lesen jurulatih dan jadi jurulatih sendiri. Kita tengok sampai tahap mana mereka boleh pergi.

“Malah kalau kita bawa Jurgen Kloop (Liverpool) atau Pep Guardiola (Man City) sekali pun belum tentu pasukan negara akan berjaya kerana polisi ini. Kita mempunyai ramai, sangat ramai pemain-pemain muda berbakat, penyerang atau pemain tengah tetapi ke mana mereka apabila berada dalam skuad negara? Ini kerana mereka tidak cukup pendedahan sepenuhnya (dalam aksi liga).

“Kita tidak boleh salahkan jurulatih negeri kerana mereka pentingkan keputusan perlawanan sahaja, soal pembangunan memang tidak ada atau mungkin sangat minimum. Mereka lebih memilih lima pemain import sebagai pemain utama, dan dari situ sudah tentu minit pemain tempatan akan kurang.

“Dan apabila dipanggil bermain dalam skuad negara apa akan jadi? Mungkin yang saya nampak hanya Luqman Hakim yang ‘not bad’… Syafiq Ahmad? Lihat kembali penglibatannya dalam aksi liga.

Mohd Azraai mengakui skuad negara mempunyai ramai pemain muda yang berbakat. Foto: FAM

“Sebab itu saya cakap, polisi Liga Malaysia yang membenarkan lima pemain import memang punca ‘our football is going nowhere‘. Kita tengoklah nanti aksi Piala AFF nanti.

“Dalam pada itu, jangan harapkan pemain naturalisasi. Saya lihat pemain naturalisasi (Guilherme de Paula) yang saya lihat turut dibawa ke Jordan yang realitinya tidak banyak membantu. Dia seolah berseorangan. Standard bawa pemain naturalisasi ini bukan segalanya. Tidak ada komunikasi dengan pemain lain, tak ada ‘eye-contact’, tak ada jiwa,” jelasnya yang pernah membimbing lebih lapan pasukan negeri sepanjang bergelar jurulatih.

Tambah Mohd Azraai lagi, aksi liga adalah akar umbi kepada pemain-pemain yang dipanggil ke skuad negara selain program pembangunan.

“Liga kita, kita yang rancang. Selagi polisi ini adalah, macam inilah bola sepak kita. Saya sebenarnya sudah kecewa dengan polisi ini dan tidak menyesal mengambil keputusan bersara sebagai jurulatih pasukan liga.

Mohd Azraai kini lebih tenang menyumbang bakti dalam program pembangunan bakat-bakat muda.

“Saya kita tanpa tekanan menjalani kerja-kerja kebajikan dalam pembangunan bola sepak, dijemput sebagai penceramah di akademi, anjurkan klinik bola sepak dan sebagainya. Saya tenang menyumbangkan pengalaman saya dengan cara begini,” ujarnya yang akui sudah muak dengan campur tangan ‘orang-orang’ dalam pengurusan bola sepak tertinggi negara.

Ditanya juga sekiranya dipanggil lagi untuk menguruskan pasukan liga negeri, Mohd Azraai menjawab: “Cukuplah ikut telunjuk ‘orang’ sebelum ini. Dan kalau saya kembali pun mungkin sebagai Pengarah Teknikal sahaja.”


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: