Bola Sepak

“Rakan penaja adalah wira” – Hamidin

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Hamdin menyerahkan cenderahati FAM kepada salah satu daripada rakan penaja FAM, Malaysia Airlines Berhad. Foto: FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan rakan penajanya sebagai wira yang menyahut seruan agenda nasional atas kesudian membantu industri bola sepak dan juga pasukan kebangsaan kekal bernafas sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

FAM mengambil kesempatan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan penaja sepanjang minggu lalu bagi membincangkan jalinan kerjasama lebih erat serta kaedah menyediakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengibaratkan sumbangan penaja seperti menyahut panggilan kebangsaan.

“Kesemua penaja ini memainkan peranan unik tersendiri dalam membantu pasukan bola sepak Malaysia berkembang, baik di peringkat akar umbi, belia, skuad wanita dan lelaki termasuk futsal dan bola sepak pantai.

“Sokongan penaja sememangnya membantu dalam memastikan pasukan kebangsaan terus bergerak maju ke depan terutama dalam menuju ke fasa endemik.

“Kami di FAM sangat berterima kasih kepada semua penaja atas sokongan dan bantuan mereka dalam menggerakkan pasukan kebangsaan. Atas dasar ini, penaja juga dianggap wira kerana mereka menyahut seruan negara,” katanya selepas bertemu dengan setiap penaja secara berasingan dan berperingkat, di Wisma FAM, sepanjang minggu lalu.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Antara rakan-rakan penaja berkenaan ialah Bank Islam, Malaysia Airlines Berhad, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Marco Corporation (M) Sdn. Bhd (CASIO), Nike, Milo Malaysia, Sanctuary Health Sdn Bhd (Sanctband Active), Amforr Sdn Bhd (KELME) dan Elite Definition Sdn Bhd (Little Joe Malaysia).

Sementara bagi rakan penaja yang lain seperti Cuckoo, Yoodo, Firefly, Joma, Kaki Jersi dan Kronos, FAM akan bertemu secara berperingkat dalam masa terdekat.

Tambah Hamidin, kerjasama dari segi tajaan akan membawa dimensi berbeza terhadap kaedah pertandingan, perkembangan pemain dan pasukan serta seterusnya meningkatkan nilai komersial pasukan kebangsaan.

“Sekali lagi, terima kasih diucapkan kepada semua penaja kerana kolaborasi ini membuktikan pasukan kebangsaan masih mendapat sokongan penuh daripada sektor korporat terutama dalam situasi tidak menentu dan ia memperlihatkan keberanian mereka dalam berdepan cabaran.

“Justeru kami berharap lebih banyak syarikat korporat atau perniagaan tampil menyokong pasukan kebangsaan dan industri bola sepak kita secara keseluruhan kerana bola sepak adalah platform yang sesuai untuk penjenamaan dan pemasaran, mengambil hakikat bahawa bola sepak ejen penyatuan dan sumber kekuatan negara pada saat-saat sukar.

“Industri bola sepak sebelum ini berdepan cabaran penangguhan dan pembatalan perlawanan, namun dengan penyokong kini dibenarkan kembali ke stadium, kami yakin semua perlawanan dan acara kami selepas ini dapat berlangsung lebih lancar,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: