Bola Sepak

Cheng Hoe sudah ada gambaran skuad terkuat Piala AFF Suzuki 2020


Perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pastinya memberikan pendedahan dan pengalaman berguna buat Harimau Malaya.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah mengenalpasti beberapa nama yang beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan untuk diserapkan dalam skuad utama kebangsaan menjelang aksi Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura.

Mengakui masih belum mencapai objektif sebenar jika dibandingkan dengan pasukan Asia Barat dan Asia Tengah, namun bagi Cheng Hoe peningkatan persembahan dipamerkan anak didiknya adalah petanda positif buat skuad kebangsaan.

“Secara keseluruhan, nampak lebih banyak perkara positif daripada negatif pada perlawanan dengan Uzbekistan ini berbanding ketika kita tewas kepada Jordan, tempoh hari. Terdapat sedikit peningkatan dari segi persembahan pasukan dan juga pemain.

“Bukan saja Faisal Halim yang nampak menonjol dalam kedua-dua perlawanan, secara keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan ke skuad Piala Suzuki AFF 2020, Disember ini dan Kelayakan Piala Asia 2023, tahun depan.
“Kita tak boleh nak kata kita sudah capai objektif kerana jauh lagi untuk membandingkan kita dengan pasukan-pasukan dari Asia Barat dan Asia Tengah. Masih lagi perlu buat kerja-kerja rumah yang terbaik untuk persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023.
“Daripada dua perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan ini, nampak kita masih lagi memerlukan pemain-pemain yang lebih berpengalaman di medan antarabangsa dan pemain-pemain yang ada keinginan untuk meningkatkan prestasi mereka,” jelasnya.
Harimau Malaya pastinya meraih pengalaman berharga terutamanya pemain yang kali pertama membarisi skuad apabila berdepan dengan pasukan yang berada diranking lebih tinggi selain faktor fizikal serta kepantasan corak permainan dari lawan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading