PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel, menganggap kemenangan 3-1 skuad bimbingannya ke atas Southampton bukti tindak balas segera yang tepat setelah tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.
Ujarnya, selepas dua kekalahan pasukan harus berhati-hati dan tidak terlalu kecewa serta risau dengan keputusan tersebut.
“Masih ada peluang untuk mengumpulkan 16 mata, penting untuk memiliki prestasi yang lebih baik dari dua perlawanan terakhir.
“Kami mengubah pemikiran sehingga tidak takut kalah. Hari ini kami berada di puncak Liga Perdana, tetapi masih ada perlawanan akan datang,” tegasnya.
Terdahulu Chelsea tewas 0-1 pada aksi menentang Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris serta kecundang dengan jaringan yang sama kepada Juventus dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara.
Pada aksi di Stamford Bridge malam tadi, tuan rumah berada dihadapan seawal minit ke-9 menerusi jaringan Trevoh Chalobah sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan James Ward-Prowse pada minit ke-61.
Namun Southampton terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain apabila Ward-Prowse dilayangkan kad merah pada minit ke-77 kerana bentesan keras yang berbahaya kepada Jorginho.
Kesempatan ini dimanfaatkan The Blues yang berjaya memperolehi dua gol menerusi Timo Werner (m-84) dan Chilwell (m-89).
Add Comment