MANCHESTER United akhirnya secara rasmi memperkenalkan bintang baharunya, Mason Mount yang dibawa masuk ke Old Trafford dengan nilai perpindahan bernilai 60 juta pound (RM306.78 juta).
Bekas pemain Chelsea itu akan memakai jersi bernombor 7 bersama kelab baharunya itu merupakan Pemain Terbaik untuk musim 2020-21 dan 2021-22, serta membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2021.
Jersi nombor 7 dianggap keramat buat Man United yang pernah disarung George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo ketika berunding dengan pengendalinya, Erik ten Hag.
Mount menandatangani kontrak 250,000 pound (RM1.27 juta) seminggu di Old Trafford sehingga tahun 2028 dengan pilihan lanjutan setahun selepas United bersetuju dengan harga diletakkan Chelsea.
“Bukan mudah untuk meninggalkan kelab yang membesarkan anda, tetapi Manchester United akan memberikan cabaran baharu untuk fasa seterusnya dalam karier saya.
“Semua orang dapat lihat kelab ini semakin berkembang di bawah Erik ten Hag. Selepas bertemu dengan pengendali dan berbincang berkenaan perancangannya, saya tidak sabar untuk memulakan musim baharu,” kata Mount.
Selepas mengumumkan Mount sebagai pembelian pertama mereka pada musim panas ini, United menggandakan usaha untuk mendapatkan penjaga gol Cameroon, Andre Onana dari Inter Milan.
Add Comment