Bola Sepak Terkini

Pembakaran suar : FAM sudah lama kenakan denda terhadap JDT

Menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat

JUARA Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikenakan hukuman denda RM120,000 atas tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memaklumkan biarpun tidak diberitahu secara umum sebelum ini, surat hukuman denda bagi kesalahan-kesalahan tersebut sebenarnya sudah dihantar ke JDT.

Tambahnya, surat berkenaan telah dihantar pada 31 Mei 2023 untuk memaklumkan keputusan yang telah diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei 2023.

“Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Sabah FC pada 31 Mac 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Kedah Darul Aman FC pada 9 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” jelasnya.

Menurut Noor Azman, bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lwn PDRM FC pada 14 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Dengan pemakluman ini, diharap ia dapat memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.

“Adalah sekarang menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat”, tegasnya.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: