Bola Sepak

Piala Malaysia: Sang Kancil ‘sekolahkan’ Lang Merah

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Manuel Ott meledak dua gol membantu kemenangan MUFC, 3-1 mengatasi KDA FC pada aksi di Alor Setar.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Piala Malaysia 2021 selepas membenam cabaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC), 3-1 pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

Turun pada aksi kedua dalam Kumpulan C, Kedah dan MUFC yang mencatatkan kemenangan pada aksi pertama sebelum ini mempamerkan aksi menarik pada awal perlawanan bagi memburu gol awal.

Lang Merah tidak menunggu lama untuk berada dihadapan selepas penyerang berbisa tuan rumah, Kpah Sherman berada dalam situasi dan tempat yang sesuai untuk melepaskan rembatan kencang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke tujuh.

Tersentak dengan gol tersebut, Sang Kancil kembali mengatur gerakan memburu gol penyamaan dan ia terhasil menerusi jaringan pemain import, Sony Norde pada minit ke-23 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Corak permainan berbeza yang dipamerkan Lang Merah malam ini nyata dihukum selepas pelawat berjaya mendahului hasil jaringan Manuel Ott pada minit ke -38 sebelum kedua pasukan beredar menuju ke bilik persalinan untuk aksi babak pertama.

Kedah yang merupakan finalis Piala Malaysia 2019terus tertekan pada separuh masa kedua apabila Manuel Ott yang merupakan pemain kebangsaan Filipina itu sekali lagi mencetak nama selaku penjaring ketiga buat pasukan dan kedua peribadi pada minit ke-52.

Gol berkenaan terhasil menerusi rembatan kencang Manuel Ott dari luar kotak penalti yang tanpa diberikan tentangan atau hadangan pertahanan lawan.

Skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak turut memiliki beberapa peluang selepas itu menerusi Kpah Sherman dan Renan Alves namun ketangkasan Khairul Fahmi memastikan keputusan 3-1 kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.

Kemenangan diraih MUFC ini meletakkan mereka ditangga teratas Kumpulan C dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan sementara KDA FC pula ditangga kedua dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kekalahan.

Dua lagi pasukan lain yang berada dalam kumpulan sama iaitu Kelantan United FC dan Negeri Sembilan FC hanya akan beraksi malam esok .

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: