Bola Sepak

Piala Malaysia: JDT menang tipis ke atas PJ City

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

JDT mencatat kemenangan 1-0 ke atas PJ City FC. Foto: MFL

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengumpul mata maksimum dari dua perlawanan awal Kumpulan D TM Piala Malaysia 2021 selepas menundukkan PJ City FC 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Benjamin Mora melakukan empat pertukaran dengan merehatkan penjaring terbanyak, Bergson Da Silva, Danial Amir, Nazmi Faiz dan Arif Aiman dan memberi peluang beraksi kepada Hazwan Bakri, Syahrian Abimanyu, Afiq Fazail dan Gonzalo Cabrera.

Pengendali PJ City, P.Maniam juga menukar empat pemain dalam kesebelasan utama dengan Mahali Jasuli dan Faiz Mazlan kembali memperkuatkan pasukan.

JDT tidak menunggu lama untuk berada dihadapan apabila rembatan dari luar kotak penalti oleh Gonzalo Cabrera pada minit ketiga perlawanan memberikan kelebihan awal buat skuad Harimau Selatan.

Selepas gol itu, JDT banyak mengawal permainan dengan PJ City dilihat lebih mempamerkan corak bertahan dengan Darren Lok dikawal ketat oleh barisan pertahanan JDT untuk keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua juga tidak banyak berubah dengan JDT masih menguasai perlawanan dan Mora membawa masuk Safiq Rahim, Guilherme De Paula dan Arif Aiman untuk menambah sengat serangan.

Beberapa percubaan bahaya berjaya dicipta selepas itu tetapi gagal disudahkan oleh Natxo Insa dan Safiq Rahim walaupun tidak dikawal di dalam kotak penalti.

Jaringan tunggal Cabrera cukup untuk memberikan tiga mata kepada JDT dan kini selesa dengan enam mata, berkelebihan empat mata mendahului Kumpulan D.

Perlawanan seterusnya akan menemukan JDT dengan Sabah di Likas manakala PJ City bakal berhadapan Kelantan di Petaling Jaya dalam aksi yang dijadualkan pada 29 Oktober.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: