
Oleh: SURYATI MOHD NOR
MASIH panas menjulang trofi selaku juara Liga Premier musim ini, Negeri Sembilan FC (NSFC) dikejutkan dengan kekalahan 2-0 aksi pertama Piala Malaysia di tangan Melaka United FC pada Isnin malam.
Menurut pengendali NSFC, K.Devan pertandingan Piala Malaysia mempunyai level yang berbeza, lebih-lebih lagi pemain dalam pasukan Liga Super mempunyai kualiti dan pengalaman yang baik di pentas ini.
“Saya rasa Melaka United bermain dnegan baik sehingga berjaya mengawal dua penyerang import kita. Mereka juga mempunyai pemain yang ada kualiti dalam melakukan sepakan dari luar kotak.
“Manakala kita gagal bertahan dalam situasi itu dan keseluruhan permainan di babak pertama tidak seperti biasa. Namun aksi kedua lebih baik, tetapi masih nampak tidak kreatif dan juga gagal menghasilkan jaringan gol apabila sampai di bahagian serangan.
“Ia juga ditambah dengan keadaan padang yang agak ‘berat’ (selepas hujan) dan kesukaran menyesuaikan diri seperti permainan biasa,” jelasnya Devan kepada media.
📹 HIGHLIGHTS: @MelakaUnitedFC 2-0 @nsfc1923
Jaringan Adriano dan S. Kumaahran membolehkan Melaka United meraih tiga mata penuh dalam aksi pertama Kumpulan C.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/kQ3DAqLAxE
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 27, 2021
Dalam pada itu, Devan yang kedengaran tenang dengan kekalahan ini mengakui pertemuan dengan Kelantan United pada aksi kedua Kumpulan C adalah sangat penting untuk mengutip mata.
“Kita perlu menang dengan Kelantan United ketika bermain di tempat lawan nanti (Jumaat). Kita pernah bermain dengan pasukan ini dan tahu kelemahan mereka.
“Kalau ingin terus maju ke peringkat suku akhir, kita perlu menang.
“Saya rasa Negeri Sembilan ada kualiti untuk melakukan perkara tersebut dan saya harap kita boleh cipta kemenangan,” tambahnya.
Negeri Sembilan FC berada dalam Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan Kelantan United.








Add Comment