
KETUA jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor enggan terlepas untuk turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang terlibat dalam saingan berprestij itu apabila pasukannya bakal turun menentang Kuching City FC, petang ini.
Justeru, perlawanan tertunda malam ini sangat penting dalam misi wajib menang dengan kelebihan dua gol untuk layak bersaing di pentas Piala Malaysia dan sekiranya mereka tewas, PDRM FC akan mendapat slot tersebut apabila kini berada di tangga ketujuh liga dengan 26 mata.
Namun, berdepan skuad kendalian Irfan Bakti semestinya bukan mudah kerana walaupun mereka telah layak ke Piala Malaysia, tidak bermakna pasukan itu akan beraksi sambil lewa dan membiarkan mereka tewas di tangan Kelantan United dengan mudah di laman sendiri.
“Terus terang saya cakap selepas kita menang dengan TFC II, saya nampak moral pemain-pemain saya semakin tinggi sebab walaupun lama kami tak berlatih sebab kuarantin, tetapi mereka tetap mampu bermain dengan berdisiplin.
“Saya memang nak layak ke Piala Malaysia dan saya tahu pemain-pemain saya nak bermain di saingan itu, apatah lagi ini sudah memasuki ke 100 tahun, mesti la mereka tidak ingin terlepas untuk turut layak.
“Bukan apa, ia juga bagus untuk masa depan pemain-pemain yang ada ini terutamanya pemain muda kerana daripada situ, mungkin dapat memikat hati mana-mana jurulatih lain untuk mereka menapak lebih jauh”, jelasnya.
Kelantan United FC kini berada di tangga kesembilan liga dengan 23 mata manakala PDRM FC di tangga ketujuh dengan 26 mata.
Setakat ini empat pasukan Liga Premier yang telah layak ke Piala Malaysia adalah Negeri Sembilan FC, Sarawak United FC, Kuching City FC dan Kelantan FC manakala pasukan terakhir akan diketahui sebaik sahaja berakhir perlawanan tertunda pada malam esok.
Add Comment