Bola Sepak

“Kemenangan di Palestin bonus, BSW belum ada ‘standard’… masih banyak perlu diperbaiki”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pasukan bola sepak wanita negara menang ke atas Palestin pada aksi Kelayakan Piala Asia 2022.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

TERNYATA kemenangan tunggal skuad bola sepak wanita negara ke atas tuan rumah, Palestin mendapat respons yang positif daripada peminat-peminat bola sepak tanah air selepas sekian lama kemarau keputusan baik.

Skuad Malayan Tigress mencatat kemenangan 2-0 ke atas Palestin dalam aksi terakhir Kelayakan Wanita Piala Asia 2022 bagi Kumpulan H selepas tewas kepada Thailand (4-0) Ahad lalu.

Tanpa persediaan yang sempurna dengan hanya latihan secara kuarantin selama sebulan dan tanpa sebarang perlawanan pemanas badan, pasukan kendalian Jacob Joseph ini mampu memberi saingan yang baik walaupun hampir dua tahun tanpa sebarang aktiviti bola sepak.

Namun realitinya, pencapaian skuad wanita negara yang kini berada di ranking ke-92 dunia masih lagi di tahap yang ketinggalan berbanding dengan pasukan negara-negara Asean lain. Kebenaran ini diakui oleh Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia(PPBSWM) Normala Abdul Rashid.

Bercakap kepada CAKAP SUKAN, Normala mengakui juga kemenangan ini sekurang-kurangnya membuat orang membuka mata kepada pasukan bola sepak wanita.

Skuad wanita negara kembali berkumpul selepas dua tahun tanpa sebarang kejohanan. Foto: FAM

“Pertama sekali, tahniah kepada pasukan wanita negara kerana kemenangan ini amat penting selepas sekian lama tidak melihat keputusan baik seperti ini.

“Sesuatu impak yang besar bagi pasukan wanita dan sekarang kita nampak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah mula memberi sokongan mempromosi BSW (Bola Sepak Wanita) berbanding sebelum ini.

“Malah pihak Television seperti ASTRO telah membuat liputan siaran langsung perlawanan ini. Ianya amat bermakna kepada pembagunan BSW di Malaysia,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Normala (barisan kedua kanan, keempat) ketika menghadiri seminar bola sepak di Jordan 2018. Foto: FB Soccer Queen’s

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan ini yang pernah membantu pasukan negara merangkul pingat gangsa pada aksi Piala Asia 1983 mendedahkan bahawa skuad wanita hari ini belum sampai ke tahap ‘up to standard’.

“Ini kerana BSW Malaysia telah Mula bertapak sejak awal 60-an lagi, manakala Palestin pula masih baharu. Kalau boleh saya nak tengok mereka menang 6 atau 7-0.

“Sewaktu menentang pasukan Thailand, pasukan kita hanya berdepan dengan skuad pelapis Thailand dan mereka hanya menggunakan tiga orang pemain senior yang beraksi di Piala Dunia yang lepas. Tidak dapat Kita bayangkan bagaimana keputusannya kalau Thailand menurunkan skuad utama mereka.

“Ternyata prestasi pemain negara bukan berada di standard yang sepatutnya lagi.”

Namun secara keseluruhan, Normala memuji para pemain yang rata-rata memiliki bakat kebolehan dan kesungguhan untuk bermain, tetapi jelasnya pemain tidak mendapat tunjuk ajar yang betul dan corak latihan perlu di tambah baik.

“Mereka mampu melakukannya tetapi tidak diajar dan diminta melakukan nya.Tidak ada seorang pemain pun yang mempunyai ‘speed dan power‘ sepanjang mereka beraksi dalam pusingan kelayakan ini.

Skill yang mereka ada sepatutnya boleh digilap sebaik mungkin.

“Jadi apa yang boleh saya katakan pasukan kita masih tidak ada standard dan kemenangan ini adalah bonus kepada pasukan,” jelasnya.

Aksi pasukan wanita negara ketika menentang Palestin pada Rabu. Foto: FAM

Normala yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Wanita FAM (2006-2008) dan (2016-2018) memberitahu, sebagai salah seorang yang aktif dalam memperjuangkan bola sepak wanita ini, dia agak kecewa kerana sehingga kini pasukan wanita masih di takuk lama.

“Semuanya berbalik kepada pengurusan. Pengurusan yang baik mampu membuat pilihan yang lebih baik.

“Pemilihan pemain, pemilihan jurulatih, pemilihan pengurusan pasukan penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah pasukan.

“Dan aspek kejurulatih, FAM sepatutnya meletak KPI (Indeks Prestasi Utama). Bagi tempoh tertentu, contoh untuk tiga tahun dan kalau tidak capai KPI, ia bermakna gagal. Setiap kerja mesti ada KPI.

“Saya mengambil peduli kerana kita mempunyai ramai pemain yang bagus. Mungkin ramai tanya kenapa persatuan tidak membantu FAM? Sebenarnya persatuan kami telah mengadakan kunjung hormat bertemu Setiausaha Agung Stuart Ramalingam (pengurusan terdahulu) untuk bergabung dan menjadi salah sebuah badan gabungan, tetapi permohonan kami di tolak dengan alasan yang mencurigakan.

“Kami bukan mahu bersaing, tetapi untuk membantu FAM. Dalam persatuan ini ramai bekas pemain yang mempunyai pengalaman termasuk Widiya Habibah Shamsuri (Pengadil ke Piala Dunia Fifa 2015) dan berapa pemain yang mempunyai Lesen Jurulatih kelas C & B.

“Saya juga tertanya-tanya mengapa sijil-sijil atau anugerah yang saya dan rakan-rakan dalam Persatuan Bekas Pemain ini ada tidak di pandang oleh FAM .

“Saya pernah menerima anugerah ‘ AFC BRONZE MEDAL’ pada tahun 2007 atas sumbangan saya kepada pembangunan BSW, pernah dipanggil sebagai speaker di simposium bola sepak wanita di Jordan dan Australia dan banyak lagi,” jelasnya.

Enggan menunggu perubahan dalam FAM, Normala memberitahu persatuan mengambil langkah sendiri untuk menganjurkan pelbagai program komuniti bola sepak wanita.

Normala turut turun padang berbincang dan melihat program NFDP di Kedah 2019-2020.

“Kami akan mengadakan kejohanan Piala Sri Kandi kali ke-2 yang memberi tumpuan kepada pasukan muda B-12,15 Tahun untuk program pembangunan.

“Dan tahun depan sudah ada pihak yang menunjukan minat menjadi penaja kepada kejohanan Piala Legenda Normala Rashid yang melibatkan beberapa pasukan elit negara luar seperti Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand,” tambahnya.

Sebagai rekod, sepanjang bertugas di FAM sebelum ini, Normala turut aktif mengadakan pelbagai kejohanan peringkat akar umbi bagi pembangunan bola sepak wanita.

Malah antara kejayaan besar yang telah di capai Pasukan negara sepanjang berkhidmat di FAM termasuk memenangi Pingat Emas di Sukan Arafura (2006) dan separuh akhir Kejohanan AFF 2017 buat kali pertama.

Selain itu,  Normala turut berkongsi perkembangan terbaharu persatuan yang akan mengadakan pertandingan mereka cipta jersi pemain bola sepak wanita patuh syariah dalam masa terdekat ini.

“Kami akan umumkan tidak lama mengenai pertandingan ini.”


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

3 Comments

Click here to post a comment

Leave a Reply

  • Tahniah kepada Malayan Tigress..satu langkah ke arah kejayaan yang lebih cemerlang…salute dengan usaha On Normala dan PPBSWM..semoga penyakit ‘politik’ tidak merencatkan usaha ke arah keunggulan bola sepak wanita

  • Alhamdulillah tahniah pd BSW Harimau Malaya Tigress.. Ini titik permulaan semula utk generasi skrg mengetahui di Malaysia terdapat ramai pemain2 wanita yg berkeliber utk diketengahkan dan mempunyai kualiti dlm permainan BSW. Jgn pandang rendah dan remeh dgn kebangkitan BSW sbb mereka telah membuktikan pd negara yg mereka mampu bersaing diperingkat antarabangsa jika diberi pendidkan bolasepak yg betul dan memahami apa yang perlu dibuat ketika menghadapi pertandingan bertaraf antarabangsa. Cara nak buat bersiapan mental bg menghadapi kejohanan besar adalah terletak kpd Pihak Pengurusan dan Ketua Jurulatih yang dilantik. Standard permainan boleh dicapai dengan memberi latihan yg kualiti utk diguna pakai semasa perlawanan. Fitness bukan masalah. Masalah sebenar ialah nak didik attitude pemain utk jadi pemain yang keyakinan tinggi dlm diri utk dipersembahkan ketika beraksi. Aksi pemain menjadi taruhan pandangan mata semua jurulatih, pemain lawan, pemain dlm pasukan dan terutama sekali ialah penyokong dan peminat BSW itu sendiri.
    Tidak berniat untuk menjatuhkan sesiapa tapi biarlah BSW Malaysia menjadi budaya bolasepak yg sihat dan harus diberi perhatian yang sewajarnya.
    #wearefootballers
    #tahniah pengurusan, jurulatih dan semua barisan yg terlibat sbb anda semua telah menjadi PEMANKIN kepada BSW.. InShaaAllah Aaminn

  • Sekalung tahniah buat BSW Harimau Malaya Tigress…walaupun tiada game atau liga domestik utk kaum hawa di Malaysia..skurang2 nye BSW Harimau Malaya Tigress telah membuktikan bhawa di Malaysia kita tidak ketandusan bakat2 yg boleh diketengahkan…diharapkan pihak2 yg sepatut nya mngambil tanggung jawab ini utk memacu BSW di Malaysia agar kita tidak ketinggalan lebih jauh dari negara2 yg sudah mendahului kita…harapan dan sokongan peminat2 BSW khusus nya kaum hawa menantikan sinar agar BSW dapat dilakarkan di kalendar sukan negara dalam kita memartabatkan sukan no 1 negara ini…Sekali lagi syabas dan tahniah sya ucapkan buat skuad BSW Harimau Malaya Tigress…Kalian yg trbaik dikalangan terbaik…Mantopp…👏👏👏👍👍👍

%d bloggers like this: