Bola Sepak

Kenapa Regan tidak gembira dengan pasukan?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KETUA pasukan Sarawak United FC (SUFC) Taylor Regan menyifatkan kejayaan ke pentas Liga Super sebagai sesuatu yang membanggakan setelah bekerja keras sepanjang musim.

Tegas Regan, pasukannya layak dinobatkan naib juara Liga Premier setelah melepaskan kelebihan lima mata yang dimiliki ke atas Negeri Sembilan.

“ Kami sememangnya tidak gembira kerana kami pada mulanya berada di tangga teratas dan segala-galanya cukup selesa dalam kawalan kami untuk muncul juara liga.

“ Mungkin apa yang terjadi dengan pasukan pada perlawanan terakhir ada memberikan sedikit kesan tetapi saya tidak mahu berikan sebarang alasan di sebalik kegagalan kami.

“ Tahniah kepada Negeri Sembilan kerana muncul juara dan secara keseluruhan, kami layak untuk berada di tempat kedua pada musim ini berbanding mereka.

“ Kepada penyokong Sarawak, terima kasih di atas sokongan anda semua malah saya hargai dengan segala kata-kata penghargaan dalam beberapa hari ini, kami telah cuba sedaya upaya untuk menang dan sekarang kami akan cuba melakar sesuatu di Piala Malaysia,” ujarnya.

Regan mengakui saingan peringkat kumpulan pastinya sengit.

Mengulas saingan Piala Malaysia, Regan melihat pasukan berada dalam kumpulan yang sukar kerana Penang FC menjadi antara pasukan terbaik di Liga Super sementara Kuala Lumpur punyai sebuah skuad yang berkualiti sementara Sri Pahang, pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam saingan Piala Malaysia.

“ Cuma bezanya kami tidak ada tekanan berbanding di Liga Premier kerana kami dituntut mendapatkan kemenangan dalam tiap perlawanan tetapi di Piala Malaysia, kami tidak akan rasainya dan ini mungkin berikan sedikit kelegaan buat pemain untuk beraksi lebih baik, ” katanya.

Dalam perlawanan terakhir Selasa lalu, , hasrat Sarawak United untuk meraih kejuaraan berkubur setelah Negeri Sembilan menang 4-2 ke atas PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi manakala mereka sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Dato Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang, Uche Agba terlebih dahulu meletakkan Sarawak di hadapan pada minit ke-4 namun pemain gantian, Stuart Wilkin menyamakan kedudukan buat JDT II pada minit-84 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Situasi itu menyebabkan Negeri Sembilan muncul juara dengan pungutan 41 mata, tiga mata mengatasi Sarawak yang berada di tangga kedua dengan 38 mata.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: