Oleh : SUBKHI SUDARJI
BARISAN pemain dan pengurusan Negeri Sembilan FC bakal menerima bonus ekoran kejayaan meraih gelaran Juara Liga Premier 2021 selepas menewaskan pesaing terdekat Sarawak United FC.
Menteri Besar merangkap Penasihat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menyaksikan perlawanan terakhir menentang PDRM FC, Selasa lalu menghamburkan penghargaan dan tahniah buat semua pemain dan pengurusan.
“Alhamdulillah dan tahniah kepada Presiden NSFC, semua pemain jurulatih dan pengurusan serta penyokong.
“Untuk pemberian bonus atau pun insentif diatas kejayaan ini kita serahkan kepada Presiden,” ujarnya ditemui selepas perlawanan tersebut.
Terdahulu pada 15 September lalu, kerajaan negeri memberikan insentif sebanyak RM2,000 setiap seorang dalam pasukan itu selepas layak beraksi di pentas Liga Super musim depan.
Hadir sama pada majlis penghargaan berkenaan ialah Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan timbalannya, Datuk Dr Razali Ab Malek.
Add Comment