Oleh: JJFIRDAUS
PASUKAN Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama-sama dengan pasukan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos untuk kempen Piala AFF Suzuki 2020.
Malaysia yang diletakkan dalam Balang 2 sekali lagi akan berhadapan musuh tradisi, Vietnam dan Indonesia dengan format pertandingan yang bakal ditentukan kelak.
Undian yang telah dijalankan secara maya itu bakal menyaksikan 10 pasukan Asia Tenggara akan bersaing merebut piala kebanggaan serantau ini dengan perlawanan pertama peringkat kumpulan akan bermula bulan 5 Disember 2021.
Kejohanan ini pada asalnya berlangsung dari 23 November 2020 hingga 31 Disember 2020 tetapi telah ditunda sebanyak dua kali ekoran penularan pandemik Covid-19 di rantau ini.
Pada awalnya, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei 2021 tetapi sekali lagi ditunda ke tarikh baharu iaitu bermula 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.
Format asal pertandingan melibatkan perlawanan ‘home and away’ tetapi disebabkan keadaan Covid-19 yang masih menular, cadangan pertandingan secara karnival telah diusulkan bagi memastikan kelancaran kejohanan ini.
Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam adalah antara beberapa negara yang menyatakan hasrat menjadi tuan rumah dengan stadium baharu di Kemboja kini sudah bersedia untuk diuji sebagai gelanggang rasmi.
Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste bakal bersaing merebut dua tempat teratas untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Vietnam adalah juara bertahan selepas menewaskan Malaysia 3-2 dalam dua aksi final pada edisi 2018 dan kali terakhir Harimau Malaya muncul juara adalah pada edisi 2010.
Add Comment