Bola Sepak

Piala AFF: Cheng Hoe akui semua lawan bukan mudah, terus intai pemain muda

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Tan Cheng Hoe

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PENGENDALI Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui semua pasukan yang berada dalam Kumpulan B bersama Malaysia bagi Piala AFF Suzuki tidak boleh dipandang mudah.

Pada majlis undian yang berlangsung pada Selasa secara maya di Singapura, Malaysia diundi berada dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

“Undian kali ini tidak banyak beza dengan mana-mana kejohanan yang melibatkan negara-negara Asean. Vietnam sudah tentu menjadi pasukan pilihan, lebih-lebih lagi mereka kini di pentas kelayakan akhir Piala Dunia.

“Dalam masa sama, bukan sahaja Vietnam (pencabar), sebaliknya Indonesia juga bukan mudah kerana mereka adalah musuh tradisi kita.

“Kemboja… kita juga tidak boleh pandang ringan kerana mereka mempunyai ramai pemain berbakat. Dan Laos pun sama, kita kena fokus,” jelasnya ketika dihubungi Cakap Sukan.

Menurut Cheng Hoe, 53, sebagai jurulatih sudah pasti dia mahukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Kita akan fokus setiap perlawanan dan barisan kejurulatihan saya akan cuba melakukan persiapan terbaik dari segi pemilihan pemain-pemain.

Undian Piala AFF Suzuki yang berlangsung pada Selasa.

“Kami akan terus memantau pemain-pemain dalam aksi Piala Malaysia sebelum dipanggil ke skuad negara. Sudah pasti mereka adalah yang sudah bersedia dari segi fizikal dan kecergasan kerana kita tidak mempunyai banyak masa untuk itu.

“Kita juga akan cuba mendapatkan beberapa pemain muda yang berada di luar negara jika mereka diberi ‘lampu hijau’ oleh kelab masing-masing.

“Pemilihan pemain ini juga adalah untuk persediaan bagi Kelayakan Piala Asia tahun depan,” tambahnya.

Edisi ke-13 Piala AFF kali ini dalam format yang baharu dianjurkan secara karnival berikutan pandemik Covid-19, hanya bermain satu tempat sahaja, bukan seperti sebelum ini ‘home and away’ bermula 5 Disember hingga 1 Januari 2022.

Pada edisi terakhir 2018, Malaysia bergelar naib juara selepas tewas kepada Vietnam secara agregat 3-2.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: