Bola Sepak

Gelaran juara Liga Premier 2021 milik NSFC

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

R Barathkumar (dua,kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol pertama buat NSFC.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

NEGERI Sembilan FC (NSFC) merangkul gelaran kejuaraan Liga Premier 2021 selepas menewaskan PDRM FC, 4-2 pada aksi di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Tiga mata yang diraih skuad bimbingan K Devan ini  menamatkan kemarau 30 tahun The Jangs yang kali terakhir dinobatkan selaku juara pada 1991.

Gol  skuad Hoben Jang Hoben dijaringkan R Barathkumar pada minit ke 25 sebelum jaringan gol sendiri pemain tengah PDRM FC, Muhamad Eskandar Ismail pada minit ke-38 memberikan kelebihan buat tuan rumah untuk menuju ke bilik persalinan dengan keputusan 2-0.

Memasuki babak kedua, NSFC dilihat cuba memperlahankan corak permainan yang memberikan ruang buat The Cops mengatur gerakan.

Gandingan Zaquan Adha dengan penjaring terbanyak pasukan, Alain Akono dibahagian hadapan nyata berbisa apabila hantaran lintang Zaquan disempurnakan Akono menerusi tandukan untuk gol ketiga pada minit ke-60.

Namun selang tiga minit kemudian kelekaan benteng pertahanan tuan rumah dimanfaatkan PDRM FC untuk merapatkan jurang jaringan menerusi G Durrkeswaran.

Tekanan semakin dirasai tuan rumah apabila pemain tengah The Cops, Muhammad Azrie Reza Zamri menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 yang bijak melepaskan rembatan untuk menewaskan Damien Chien Khai Lim.

Kegusaran dan tekanan dirasai NSFC bagaimanapun dileraikan pemain gantian , Mohammad Fahmi Faizal apabila apabila turut mencetak nama selaku penjaring gol keempat pasukan.

Kekasaran dilakukan penjaga gawang PDRM FC, Muhammad Hamka Daud ke atas Zaquan Adha dalam kotak penalti pada minit ke 80 seharusnya meletakkan pasukan selesa didepan namun dia yang mengambil sepakan berkenaan gagal meletakkan bola dalam gawang pelawat.

Walupun PDRM FC cuba memberikan tekanan dan memburu gol namun keputusan 4-2 kekal sehinggalah tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan NSFC mengumpul 41 mata selepas 20 perlawanan, manakala pesaing, Sarawak United FC di tempat kedua dengan 38 mata selepas terikat 1-1 denganJohor Darul Ta’zim II (JDT II) di Larkin.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: