Bola Sepak Komentar

Kembar Aidil dan Zaquan bakal cipta sejarah unik, apakah itu?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Zaquan mencipta sejarah peribadi tersendiri bersama Negeri Sembilan FC musim ini.

Oleh: MOHD FARIQ

SEDAR atau tidak, satu sejarah unik bakal tercipta jika Negeri Sembilan FC memenangi gelaran Liga Premier 2021 pada Selasa ini.

Ini kerana kita semua bakal menyaksikan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak bersama adiknya, Mohamad Zaquan Adha masing-masing berusia 34 tahun menjadi pasangan kembar pertama yang memenangi dua kejuaraan liga berbeza sejak Liga Malaysia dijenamakan pada 2004.

Umum mengetahui Aidil telah pun menjulang gelaran Liga Super baru-baru ini bersama kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali kelapan berturut-turut.

Kini tumpuan pula ke arah Zaquan bersama Negeri Sembilan FC yang bakal membuat perhitungan bertemu PDRM FC dalam misi menjulang trofi Liga Premier di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi nanti.

Mengimbau kembali perjalanan duo ini, mereka memulakan kariernya bersama Negeri Sembilan FC bermula 2006 menyaksikan Aidil bertindak sebagai pemain pertahanan sementara pemain sayap menjadi posisi tetap buat Zaquan.

Kedua-dua pemain ini kemudiannya menyertai ATM FC (yang kini dikenali Armed Forces FC) selepas berbakti lima tahun bersama Negeri Sembilan sebelum menyertai JDT yang ketika itu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih skuad Harimau Selatan pada 2013.

Tatkala Aidil konsisten bersama JDT, Zaquan pula menerima nasib berbeza apabila dia kemudiannya bermain di Liga Premier bersama JDT II pada 2014.

Zaquan kemudiannya berkelana ke Perak FC (2017), Kuala Lumpur City FC (2018) dan Kedah Darul Aman FC (2019) sebelum pulang ke pangkuan Negeri Sembilan pada tahun ini.

Zaquan sebelum ini pernah memenangi Liga Premier bersama ATM pada 2012, sekali lagi diberikan peranan untuk mengetuai Negeri Sembilan yang telah pun mengesahkan slot Liga Super 2022 selepas tujuh musim bermain dalam divisyen kedua, dalam misi menghadiahkan trofi kepada pasukan.

Jika misi itu berjaya direalisasikan, Zaquan bersama Aidil bakal mencipta satu sejarah unik di mana muncul sebagai pasangan kembar pertama yang menjuarai dua kejuaraan liga yang berbeza dalam satu musim yang sama.

Zaquan dan Aidil pasangan kembar yang terus menjadi tumpuan dalam bola sepak tanah air.

Mungkin tidak terlaluan juga untuk penulis mengatakan ini adalah sejarah pertama kali kembar memenangi gelaran liga berbeza dalam satu musim dalam sejarah Liga Malaysia.

TFC II JADI WATAK BARU DALAM PERTEMBUNGAN TIGA PENJURU

Nampak gayanya usaha Zaquan untuk melakarkan sejarah unik tidak berdepan laluan mudah yang disangka.

Ini kerana perebutan takhta Liga Premier yang sebelum ini didominasi oleh Negeri Sembilan FC dan Sarawak United menjadi semakin menarik.

Semalam, Terengganu FC II (TFC II) menjadi ‘kuda’ ketiga dalam perebutan kejuaraan Liga Premier selepas menundukkan Kuching City FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Berdasarkan kedudukan semasa, Negeri Sembilan mengutip 38 mata diikuti Sarawak United (37) dan TFC II mencatatkan 35 mata sepanjang 19 perlawanan.

Secara matematik, TFC II masih berupaya dinobatkan sebagai juara sekiranya Negeri Sembilan tewas kepada PDRM manakala Sarawak United tumbang kepada JDT II dalam aksi terakhir Liga Premier pada Selasa ini berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan.

Secara peribadi, inilah momen yang penulis nanti-nantikan dan inilah klimaks sebenarnya buat kita sebagai penyokong bola sepak yang mahu menyaksikan drama perebutan takhta liga menjadi lebih sengit.

Terengganu FC II

Jika boleh, penulis mahu hadir ketiga-tiga venue tetapi sudah tentu ia tidak logik sekali gus memaksa penulis hanya dapat menonton satu perlawanan sahaja, insya allah Paroi.

Persoalan sekarang, perlawanan manakah yang akan menentukan sang juara tetapi penulis yakin ketiga-tiga pasukan ini akan bermain mati-matian.

Akhir kata daripada penulis, siapa cakap Liga Malaysia membosankan?


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: