Bola Sepak

Bahana aksi ganas: Sharbinee terima ‘habuan’!

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Sharbinee didenda RM7,000 dan digantung lima perlawanan atas tindakan tidak profesionalnya.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

BEKAS penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee Ramli digantung lima perlawanan dan denda RM7,000 diatas tindakannya yang tidak profesionalnya pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September lalu.

Sharbinee yang melakukan kesalahan berkenaan ketika menjadi benteng terakhir SUFC pada perlawanan berkenaan berdepan hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, bagi pertudakan pertama pemain berkenaan didapati bersalah dibawah Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila telah sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Pin Ramli.

“Sharbinee juga didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menolak dengan agresif di bahagian dada Pengadil Perlawanan setelah dilayangkan kad merah.

“Dia juga berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh Pegawai Keempat untuk membuat penggantian pemain semasa beliau keluar padang setelah diperintah keluar oleh Pengadil Perlawanan,” katanya.

Tambahnya lagi, Sharbinee dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan denda sebanyak RM3,000 bagi Pertuduhan 1, penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2 dan penggantungan satu perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 3.

“Penggantungan lima perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik yang dikenakan ke atas pemain ini adalah aksi Johor Darul Ta’zim II menentang Sarawak United FC pada 21 September 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Elavarasan digantung 12 bulan, tapi…

“Baki penggantungan empat lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada empat perlawanan rasmi Liga Malaysia yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

“Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan keputusan ini boleh dirayu,” ujarnya.

Amer Saidin (dua,kiri) turut menerima hukuman di atas tindakannya keatas pengadil selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Baljit turut memaklumkan Mohamad Amer Saidin juga dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 selepas berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila setelah tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 secara agresif dan menolak di bahagian dada Pengadil Perlawanan.

“Penggantungan dua perlawanan adalah membabitkan Johor Darul Ta’zim II menentang Sarawak United FC pada 21 September 2021 dan baki penggantungan satu lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada perlawanan rasmi Liga Malaysia.

“Dia (Amer) juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan keputusan ini tidak boleh dirayu,” katanya.

Jawatankuasa Tatatertib FAM juga mengenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 1 dan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2 ke atas Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli.

“Pemain ini melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap Penolong Pengadil 1 apabila setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Pengadil Perlawanan meluru ke arah Penolong Pengadil 1 secara agresif dan menolak dengan kuat di bahagian dada Penolong Pengadil 1.

“Badrul berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila setelah tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 secara agresif dan menolak di bahagian dada Pengadil Perlawanan.

“Penggantungan empat perlawanan membabitkan aksi Johor Darul Ta’zim II menentang Sarawak United FC pada 21 September 2021 dan baki penggantungan tiga lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada tiga perlawanan rasmi Liga Malaysia.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan penggantungan ini boleh dirayu,” jelasnya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: