Bola Sepak

Elavarasan digantung 12 bulan, tapi…


Oleh : SUBKHI SUDARJI

KETUA jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dan denda RM10,000 ekoran tindakannya yang membuat kenyataan selepas perlawanan berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, namun keputusan hukuman penggantungan tersebut adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM.

Katanya lagi, Elavarasan didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM (Tatalaku Badan dan Pegawai) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan kepada Media) atas tindakannya yang membuat kenyataan semasa temu ramah selepas perlawanan berhubung isu melibatkan FAM tanpa kebenaran.

“Kenyataan semasa temu ramah dibuat olehnya secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang  negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

“Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 September 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

“Walau bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan tersebut adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

“Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuat kuasakan serta-merta terhadap beliau.

“Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan pada masa sama keputusan ini boleh dirayu,” jelasnya pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Dalam perkembangan sama, FAM turut mengenakan hukuman penggantungan selama enam bulan ke atas Rudy Bujang kerana berkelakuan tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

“Rudy didapati Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM dan dilarang terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 Mac 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

“Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dengan keputusan yang dijatuhkan boleh dirayu,” jelasnya.

Baljit turut memaklumkan, jawatankuasa juga menjatuhkan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 ke atas Abang Fomay Abang Sa’adeli.

“Abang Fomay dikenakan hukuman kerana Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila selepas tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 yang masih berada di padang permainan dengan perbuatan agresif menyebabkan kumpulan Pengadil terpaksa diiringi oleh pegawai keselamatan ke bilik persalinan.

“Penggantungan dua perlawanan bermula aksi Johor Darul Ta’zim II menentang Sarawak United FC pada 21 September 2021 dan baki penggantungan satu lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada perlawanan rasmi Liga Malaysia.

“Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan denda ini boleh dirayu,” tegasnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading