Bola Sepak

Piala Malaysia bakal diserikan dengan kehadiran penonton

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Saingan Piala Malaysia 2021 peringkat kumpulan dijadualkan berlangsung 25 September nanti.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menaruh harapan saingan Piala Malaysia yang akan bermula 25 September ini akan diserikan dengan kehadiran penonton di stadium.

Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berharap permohonan pihaknya untuk mendapat kebenaran kehadiran penyokong ke stadium diberi pertimbangan sebaiknya selepas pengumuman kelonggaran baharu oleh kerajaan bagi sektor sosial dan sukan.

Sempena Piala Malaysia menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya musim ini, beliau menyifatkan kehadiran semula penonton di stadium akan menjadikan kejohanan yang mempunyai nilai cukup tinggi dalam sejarah bola sepak negara itu lebih bermakna.

“Pastinya sesuatu yang menarik jika penyokong-penyokong dibenarkan masuk ke stadium dengan kapasiti tertentu serta SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia 2021 di laman Facebook MFL.

Terdahulu , Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju memberi kelonggaran baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri berkata aktiviti sukan dan rekreasi termasuk aktiviti berpasukan bersentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, sepak takraw dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut dan terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin Covid-19 serta berlangsung di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: