Bola Sepak Komentar

Tak rugi tiru kepintaran Tunku Ismail

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Tunku Ismail berkongsi pandangan dalam pelbagai aspek bola sepak.

 

Oleh: MOHD FARIQ

MALAM kelmarin tepat jam 8.30, penulis sudah terpacak di depan kaca televisyen.

Ini kerana penulis sedang menanti salah satu rancangan kegemaran iaitu Bola@Mamak dihoskan oleh Hafizal Hamad sentiasa menjadi ‘menu’ selera penulis ketika mengikuti perkembangan sukan tempatan bermula.

Namun episod kali ini lebih istimewa apabila Tunku Mahkota Johor merangkap pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi tetamu khas untuk segmen khas durasi 90 minit ini.

Apa yang pasti, penulis bersama penyokong-penyokong sentiasa tertunggu-tunggu apakah rahsia atau isu yang bakal dibongkarkan oleh Tunku Ismail yang sentiasa bersuara lantang demi bola sepak negara kepada umum.

Seperti yang dijangka, Tunku Ismail tidak mengambil masa lama menghangatkan rancangan itu bermula apabila beliau tanpa berselindung bertitah bahawa setiap pemain JDT akan didenda RM15,000 jika lambat datang ke sesi latihan dan RM40,000 denda bagi kesalahan menggunakan saluran media sosial yang melanggar etika kerja.

Kagum! Bentak hati penulis betapa Tunku Ismail bukan sahaja menitikberatkan fasiliti dan kebajikan tetapi perihal disiplin juga menjadi keutamaan buat beliau membentuk resipi mengapa skuad Harimau Selatan terlalu unggul di dalam peta bola sepak Malaysia.

Tunku Ismail dalam program Bola@Mamak pada Isnin malam.

Namun segmen yang memakan masa satu jam 30 minit itu, terdapat satu isu yang dibuka oleh Tunku Ismail telah menarik perhatian penulis; padang bola sepak di stadium.

Tunku Ismail bukan sahaja memberikan kesedaran sebaliknya membuka jalan di mana kos membina padang yang berkualiti tinggi sebenarnya tidak mencecah RM2 juta di mana kita sebelum ini selalu dimomoknya kos cukup tinggi bagi menampung kualiti mutu padang terbaik.

Tunku Ismail memberitahu: “Kita sudah ketinggalan. Jika kita melihat Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia, semuanya tidak memakai (rumput) Cowgrass termasuk Singapura tetapi kita masih Cowgrass.

Bukan kerana kita tidak mampu (dan) bagi pandangan saya kelab bola sepak yang lain apabila mendapat bajet (sebagai) contoh baru-baru ini saya berbual dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) beliau tanya saya berapakah kos buat padang dan beliau terperanjat apabila saya ceritakan berapa (jumlah) kos padang.

Kerana beliau telah mendapat tawaran untuk buat padang baru (Stadium Nasional) Bukit Jalil, sama seperti padang (Stadium Sultan Ibrahim) iaitu RM10 juta. Saya hanya buat (padang) dengan nilai RM1.4 juta sahaja termasuk pemparitan dan sebagainya. Bagaimana perkara itu (kos padang di Stadium Nasional) menjadi RM10 juta?

PADANG ADALAH KARYA AGUNG BUAT KELAB

Jika potret Mona Lisa simbol artis Itali, Leonardo da Vinci maka padanglah karya agung bagi sesebuah kelab.

Jelas Tunku Ismail, apalah makna sesebuah kelab jika hanya tumpukan untuk mengubah fasiliti tanpa memberikan fokus utama kepada padang.

Lebih tepat, Tunku Ismail sebenarnya menggesa kesemua kelab-kelab dalam Liga Malaysia agar tidak melakukan perubahan kosmetik semata-mata.

Ini kerana padang adalah asas paling utama yang dituntut bola sepak zaman moden kini di samping melancar serta menambah kualiti corak permainan sesebuah pasukan itu.

Lebih tepat, teknologi rumput masa kini dapat mengurangkan kecederaan minimal pemain-pemain.

Penggunaan rumput jenis Cowgrass adalah umum dalam bola sepak negara dan semua menyedari rumput ini dilihat tidak dapat memaksimakan daripada sudut permukaan, kualiti dan corak persembahan pasukan.

Menyedari hal ini, Tunku Ismail tidak segan silu untuk pelajari ilmu padang bola sepak dengan tenaga pakar. Sejak dari awal lagi beliau telah mengintai pakar dengan membawa tenaga dari Jepun, Hiroi Koichi untuk mengubah bukan sahaja struktur tetapi mentaliti daripada menggunakan rumput jenis Cowgrass.

Hasilnya Stadium Sultan Ibrahim menggunakan teknologi rumput jenis Zoysia Zeon di mana penulis difahamkan bahawa spesis rumput ini telah diimport khas dari Jepun dan boleh ditemui di negara-negara seperti Australia atau Asia Pasifik.

Perkongsian mengenai bajet membuat sebuah padang amat menarik minat seluruh peminat bola sepak tempatan.

Memiliki kesesuaian adaptasi dengan iklim di Malaysia, Tunku Ismail percaya langkah untuk tidak menggunakan rumput jenis Cowgrass seperti di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin adalah satu keputusan tepat dengan membawa masuk Zoysia Zeon yang memiliki kelebihan daripada sudut cengkaman akar yang lebih kuat.

Sekarang penulis berani jamin bukan sahaja pemain tetapi kita sendiri ghairah dan mahu merasai kenikmatan rumput milik Stadium Sultan Ibrahim.

Inilah perancangan rapi membentuk pasukan bola sepak dengan menitikberat aspek paling penting, bukannya semata-mata letak kerusi ‘recaro’ di bangku simpanan.

TUNTUTLAH ILMU DENGAN TUNKU ISMAIL

Penulis berpendapat belum terlambat buat mana-mana kelab ingin belajar tentang selok belok dalam permodenan kelab dengan Tunku Ismail.

JDT adalah contoh yang terbaik untuk kita sentiasa belajar sesuatu yang baharu.

Penulis mahu memberikan pujian kepada Terengganu yang sebelum ini telah membuat rombongan ke Johor Bahru dan tidak segan silu menuntut ilmu dengan Tunku Ismail.

Malah, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga menggunakan teknologi rumput sama seperti Stadium Sultan Ibrahim juga antara salah satu venue yang terbaik di Malaysia selain turut mendapat pujian daripada Tunku Ismail.

Penulis sangat yakin bahawa pintu baginda sentiasa terbuka buat mana-mana kelab yang ingin menuntut ilmu.

Jika Tunku Ismail sendiri berkongsi cerita di mana beliau sendiri pernah menghulurkan bantuan kewangan kepada beberapa pasukan yang berdepan masalah gaji, apatah lagi kepakarannya dalam pengurusan bola sepak.

Atas padang, kita lawan tetapi di luar padang kita semuanya kawan.

Akhir kata daripada penulis, tak salah nak tiru JDT tetapi dalam masa yang sama, tirulah kepintaran Tunku Ismail yang telah pun membuktikan sesuatu dalam sejarah bola sepak negara.

Bukan senang jadi juara lapan kali berturut-turut Liga Super. Tunku, anda genius!


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: