Bola Sepak

Aksi ‘drama kad merah’ di Cheras, The Jangs kemudi Liga Premier


Aksi kental dipamerkan Sarawak United dan Negeri Sembilan FC.

Oleh: SUBKI SUDARJI / IZARI ROSLI

NEGERI Sembilan FC (NSFC) memastikan gelaran kejuaraan Liga Premier masih terbuka apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Sarawak United FC (SUFC) 1-0 pada aksi di Stadium KLFA, Cheras, Jumaat malam.

Penyerang import NSFC, Francis Kone yang gagal menyempurnakan sepakan penalti menjadi wira apabila tandukannya pada penghujung babak perlawanan memastikan kemenangan mutlak buat pelawat.

Sebelum perlawanan bermula SUFC berada ditangga teratas liga dengan kelebihan dua mata mengatasi NSFC namun tiga mata yang diraih anak buah K. Devan ini  memastikan mereka memimpin liga dengan kelebihan satu mata.

Pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, turun dengan aksi memburu kemenangan, kedua-dua pasukan mempamerkan corak serangan sebaik sahaja wisel perlawanan ditiupkan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail.

Pelawat dilihat menguasai perlawanan sepanjang 15 minit babak pertama sebelum SUFC kembali mengimbangi perlawanan.

Negeri Sembilan berpeluang berada didepan pada minit ke-20 namun tendangan lemah penyerang importnya, Kone mudah diselamatkan Sharbinee Allawee Ramli.

Walaupun kedua-dua pasukan melancarkan serangan memburu gol namun tiada jaringan terhasil dan kedua pasukan menuju bilik persalinan dengan keputusan 0-0.

Negeri Sembilan FC membawa pulang tiga mata.

Negeri Sembilan FC seharusnya berada didepan pada minit ke-65 selepas penjaga gawang SUFC, Sharbinee Allawee dilayangkan kad merah dan pelawat dihadiahkan sepakan penalti.

Kone yang ditugaskan mengambil sepakan selang dua minit kemudian bagaimanapun gagal meletakkan bola dalam gawang gol tuan rumah.

Ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan, Kone menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol pada penghujung babak kedua.

Namun tindakan Kone yang meraikan jaringan dengan membuka baju menyebabkan dia dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: