Bola Sepak

Skrip 1991 kembali berulang di Cheras, aksi lebih panas

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pemain-pemain Sarawak United cuba menyerang pengadil.

 

Oleh: MOHD FARIQ

PANAS dan mengujakan.

Itulah penulis dapat simpulkan bahang perlawanan di antara Sarawak United FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras malam ini.

Penulis turun menyaksikan perlawanan epik itu.

Kemenangan memihak kepada skuad kendalian K. Devan selepas penyerang import, Francis Kone menjaringkan gol tunggal semasa waktu kecederaan minit ke-92 (injury time) penghujung perlawanan.

Secara imbas lalu, memori penulis kembali mengiang-ngiang kenangan 30 tahun lalu apabila Negeri Sembilan menjuarai Liga Divisyen Dua selepas mengikat Sarawak 2-2 di Stadium Penbandaran Seremban pada 18 Ogos 1991.

Penulis selaku pemantau setia perkembangan sukan bola sepak mengakui betapa gentingnya perlawanan ini yang menyaksikan Sarawak United kehilangan takhta dan Negeri Sembilan FC merampas status pendahulu Liga Premier pada malam ini.

The Jangs merai kemenangan ke atas Sarawak United.

Bagaimanapun perlawanan tersebut juga dicemari dengan beberapa insiden yang tidak disegani.

Bermula dengan keputusan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail melayangkan kad merah kepada penjaga gawang Sarawak United, Sharbinee Allawee pada minit ke-65 rentak kedua-dua pasukan bertambah semakin agresif.

Biarpun kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain termasuk Kone yang diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, emosi pemain-pemain Sarawak United berada dalam keadaan tidak stabil.

Mereka bertindak menyerang Mohamad Kamil sebaik perlawanan tamat dan lebih memalukan staf kejurulatihan Sarawak United turut bertindak sama sambil berkata sesuatu kepada pengadil tersebut.

Isyarat badan jelas menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan pengadil tetapi penulis berpendapat mereka tidak sepatutnya berbuat demikian dan lebih mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi.

Pastinya, Timbalan President Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundram yang juga Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, yang turut hadir di Stadium malam ini, tidak akan duduk diam di dalam perkara ini.

Salah seorang staf Sarawak United cuba bertindak sesuatu kepada Mohamad Kamil.

Jangan terkejut jika Sarawak United bakal didenda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana jelas perbuatan mereka telah melanggari undang-undang permainan.

Di sebalik kekalahan Sarawak United, penulis tetap mahu memuji Shaiful Wazizi Mohammad yang berjaya mempamerkan persembahan positif selepas pemain itu tampil menggantikan Sharbinee.

Untuk rekod, pertemuan menentang Negeri Sembilan menjadi aksi julung kali buat Shaiful dalam aksi Liga Malaysia musim ini.

Akhir kata daripada penulis, tahniah kepada Hoben Jang Hoben dan kepada skuad Bujang Senang, perjuangan anda masih belum berakhir kerana masih berbaki satu perlawanan untuk menebus kembali kekecewaan malam ini.

Menjelang aksi terakhir Liga Premier, Sarawak United akan menentang Johor Darul Ta’zim II dan Negeri Sembilan FC bertemu PDRM pada 21 September ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: