Bola Sepak

Terengganu FC kalah lagi !

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Barisan pemain JDT meraikan kemenangan mengatasi TFC.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

TERENGGANU FC terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super 2021 dan kali ini di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur menang ke atas skuad bimbingan Nafuzi Zain, juara Liga Super musim ini JDT nyata tidak memberi ihsan buat tuan rumah.

Gol tunggal dipenghujung babak pertama menerusi Shane Lowry memastikan dendam kekalahan ditangan pelawat 0-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April lalu terbalas.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin , Kuala Terengganu sebentar tadi,  pelawat dilihat agresif sebaik wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan,  Mohd Hasrol Mohd Amir.

Penyerang JDT, Safawi Rasid memberikan ancaman awal menerusi rembatannya pada minit ke 11 namun berjaya dinafikan penjaga gawang TFC, Mohd Suhaimi Husin.

Selang tujuh minit kemudian Argzim Redzovic berjaya menanduk masuk bola ke gawang lawan namun pemain pertahanan TFC itu dikesan berada dalam kedudukan offside.

Hakimi Abdullah turut  menguji Farizal Marlias menerusi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti pada minit ke-44 namun penjaga gol kebangsaan itu berada dalam kedudukan yang tepat untuk menyelamatkan gawangnya dari dibocori.

Ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama, kekalutan didepan gawang TFC dimanfaatkan sepenuhnya Shane Lowry yang merembat deras mengegarkan jaring gol tuan rumah untuk gol pertama pelawat.

Memasuki babak kedua tidak banyak perubahan corak permainan dipamerkan tuan rumah dalam usaha memburu gol penyamaan dengan gerakan berjaya dikekang pertahanan JDT.

Walaupun TFC cuba mencari gol penyamaan khususnya pada baki 10 minit terakhir perlawanan namun JDT berjaya memastikan kelebihan satu jaringan sehinggalah tamat perlawanana.

Tiga mata diraih pelawat menyaksikan mereka mengumpul 54 mata selepas 21 perlawanan manakala TFC pula terus kekal ditangga ketiga dengan 37 mata.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: