Bola Sepak

Ahmad Faizal saran FAM perkasa saingan akar umbi


Hamidin menyambut kunjungan Ahmad Faizal ke FAM pada Khamis.

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyarankan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya perkasakan saingan akar umbi.

Ahmad Faizal yang baharu dilantik memimpin Kementerian Belia dan Sukan ini memberitahu saingan akar umbi sebagai satu cara menjana ekonomi yang boleh menyumbang semula kepada kelestarian industri bola sepak.

Selain itu, beliau yang membuat kunjungan hormat pertama ke FAM pada Khamis turut menyarankan FAM kekal fokus kepada kemajuan bola sepak elit.

“Dalam mana-mana isi rumah, penduduknya sama ada bermain atau menjadi pengikut sukan bola sepak.

“Saya menggesa agar FAM bekerjasama dengan semua pemegang taruh agar membudayakan bola sepak sebagai sukan rakyat yang dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya juga menyarankan agar FAM melihat saingan liga di peringkat akar umbi yang boleh membantu menjana pendapatan dan juga membuka ruang pekerjaan buat bekas pemain,” ujar Ahmad Faizal dalam ucapannya.

Hamidin memberi penerangan dan bertukar pendapat dengan Ahmad Faizal berhubung pelbagai bentuk kerjasama di antara FAM dan KBS.

Sementara itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama dua timbalan presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram menyambut kehadiran Ahmad Faizal ini.

Beliau juga turut memberi penerangan dan bertukar pendapat dengan Ahmad Faizal berhubung pelbagai bentuk kerjasama di antara FAM dan KBS serta perkembangan bola sepak tempatan secara amnya.

Pembentangan FAM menyentuh antara lain visi dan misi FAM menerusi Peta Hala Tuju F:30 yang akan tamat kitaran pertama pada 2022, aspek kerjasama dua hala dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), projek pembinaan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya dan perancangan ibu pejabat baharu FAM juga di Putrajaya.

“Selain membincangkan hala tuju PPBN, kami juga membincangkan projek NTC dan beberapa aspek pembangunan bola sepak tempatan,” ujar Hamidin.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Setiausaha Agung, Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading