Bola Sepak

Kami perlu menang berdepan Perak FC – Khairul Fahmi


Khairul Fahmi menggesa rakan sepasukan mempamerkan aksi berkualiti bagi meraih keputusan positif.

KETUA pasukan Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat, menganggap pertemuan dengan Perak FC di Stadium Hang Jebat pada malam esok  sebagai aksi terpenting buat pasukan itu dalam memastikan status mereka di Liga Super pada musim depan.

Biarpun satu mata mungkin sudah mencukupi buat Melaka untuk bagi memastikan mereka kekal di zon selamat namun Khairul Fahmi mengharapkan mereka mampu meraih kemenangan.

Jika berjaya meraih tiga mata di Hang Jebat, Melaka akan menamatkan kemarau kemenangan selepas lima perlawanan dengan kali terakhir mereka meraih kejayaan semasa menumpaskan Terengganu FC pada aksi Liga Super ke-15.

Tambah Khairul Fahmi, semangat juang yang dipamerkan rakan sepasukan setakat ini sejak akhir-akhir ini begitu mengagumkan apabila kerap kali berjaya bangkit pada tiap kali mereka di ambang kekalahan semasa mengikat Selangor (1-1) dan KL City (1-1).

“ Perlawanan yang sangat mustahak kepada kami kerana banyak kehilangan mata-mata penting pada perlawanan sebelum ini maka diharapkan dengan Perak, kami tidak akan lagi keciciran sebarang mata.

“ Satu mata mungkin sudah mencukupi buat Melaka untuk kekal di Liga Super tetapi kami pergi dengan mahu mendapatkan kemenangan kerana kali terakhir kami menang semasa dengan Terengganu, sudah begitu lama.

“ Semangat tidak cepat berputus asa dalam kalangan pemain begitu tinggi kebelakangan ini kerana mungkin mereka menyedari kedudukan kita di liga tidak begitu baik.

“ Masing-masing tahu tanggungjawab mereka dengan pasukan, harap semangat yang sama dapat diteruskan pada perlawanan dengan Perak dengan kita akan cuba berjuang sehingga minit terakhir permainan, ” katanya.

Melaka kini menduduki tangga kelapan dengan 18 mata, terikat bersama Sri Pahang FC dan PJ City dan berada dengan kelebihan lima mata dari zon penyingkiran yang kini sedang dihuni Perak FC menerusi pungutan 13 mata manakala UiTM FC, 9 mata.

Sembilan keputusan seri pada musim ini banyak memberikan kesan kepada kedudukan Melaka apabila hanya meraih empat kemenangan dari 20 perlawanan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading