Paralimpik Tokyo 2020

Keputusan penarikan pingat emas Ziyad kekal

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh: SURYATI MOHD NOR

KEPUTUSAN penarikan semula pingat emas atlet lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

Malah rekod dunia baharu yang dicipta atlet berusia 31 tahun ini juga tidak dikira selepas Ziyad dilaporkan lewat tiba di ‘call room’ lewat dua minit.

Isu protes tersebut dibuat kontinjen Ukraine terhadap  Ziyad Zolkefli, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador).

Ziyad,31, melakar rekod lontaran dunia baharu dengan catatan 17.94 meter sekaligus merangkul pingat emas, namun Ukraine melakukan protes kerana Ziyad dikatakan lewat tiba ke call room.

Atlet Ukraine Maksym Oval yang mencatat 17.34m diumumkan sebagi pemenang mengikut laman web rasmi Paralimpik Tokyo 2020, manakala rakan senegaranya Oleksandr Yarovyi yang mencatat 17.30m memenangi perak.

Ziyad merakam rekod dunia baharu 17.94 meter.

Menurut maklumat terkini daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker, kontinjen Malaysia di Tokyo, keputusan pertandingan Shot Put F20 melibatkan atlet negara Ziyad telah dibatalkan oleh Pengadil Pertandingan ekoran dari kelewatan Ziyad dan dua atlet dari Ecuador dan Australia melaporkan diri ke pusat panggilan (call room) sebelum acara dilangsungkan.

Ziyad telah beraksi cemerlang dengan dua kali memecahkan rekod dunia dan menduduki tempat pertama dengan lontaran 17.94 meter.

“Keputusan ini dibuat oleh pengadil pertandingan ekoran dari satu bantahan yang diterima dari atlet Ukraine bahawa ketiga-tiga atlet tersebut telah lewat melaporkan diri dan ini adalah bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 (Failure To Report To The Call Rooms) di mana seseorang atlet tersebut boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri atau pun dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan pengadil mengenai kesalahan kelewatan melaporkan diri ke pusat panggilan (call Room) tersebut.

“Sekiranya kesalahan tersebut terbukti dilakukan, maka keputusan atlit terbabit akan dicatitkan sebagai DNS (Did Not Start).

“Keputusan pertandingan bagi Ziyad dan atlet dari Ecuador dan Australia telah diputuskan sebagai DNS.”

Kronologi kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlet masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.

Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan tersebut yang agak padat dengan atlet-atlet dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlit tersebut telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.

Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlet tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.

Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat (under protest) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas.

Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlet Ecuador dan Australia dan pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlet tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap DNS.

Pegawai Malaysia termasuk Ecuador dan Australia diminta hadir sekiranya ingin membuat rayuan terhadap keputusan pengadil tersebut.

Pada ketika itu Ziyad telah pun mencatatkan keputusan pecah rekod seperti yang disaksikan oleh seluruh dunia.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman bersama-sama delegasi dari Ecuador dan Australia telah mengemukakan penjelasan dan seterusnya mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pertandingan Para Olahraga dengan memberikan justifikasi-justifikasi yang diharapkan dapat dipertimbangkan supaya penyertaan dan catatan yang dibuat oleh ketiga-tiga atlet tersebut sepatutnya dibenarkan dan bantahan Ukraine tersebut sepatutnya bukanlah satu kesalahan yang disengajakan,

Ketiga-tiganya atlet ini telah pun dibenarkan bertanding tetapi keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh tiga atlet tersebut.

Rayuan Malaysia, Ecuador dan Australia telah ditolak oleh Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics (WPA).

Ketua kontinjen Malaysia akan meneruskan rayuan Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pagi ini.

Ziyad terlepas pingat emas selepas keputusan rayuan ditolak.

Ketua kontinjen turut memaklumkan bahawa sekiranya Mesyuarat tersebut turut tidak memihak kepada Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh Pengadil Pertandingan dan Juri Rayuan Para Olahraga Sukan Paralimpik Tokyo 2020 adalah kekal.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa ( IPC ) dan WPA supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catitan rasmi kejohanan tersebut.

Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: