
“SETAHUN lebih saya tidak berjumpa keluarga di Sarawak, jadi saya ingin luangkan masa bersama mereka”, itulah perkara utama yang akan dilakukan Bonnie Bunyau Gustin sebaik sahaja selesai menjalani kuarantin selepas pulang dari temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Jelas atlet berusia 22 tahun ini, dia masih belum memikirkan apa-apa perancangan mengenai hadiah wang kemenangan RM1 juta yang bakal diraihnya di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan pencen bernilai RM5,000 sebulan.
Pada masa sama, Bonnie yang meraih emas acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram (kg) akan menerima ganjaran bernilai RM100,000 daripada penaja FWD Takaful Berhad.
“Setahun lebih tidak balik di kampung, saya akan luangkan masa bersama keluarga dahulu dan memikirkan perkara yang akan dilakukan seterusnya.
“Berbincang dengan ayah dan keluarga dahulu,” katanya ketika ditemui media selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, semalam.
Bonnie yang merupakan pemenang emas pertama negara Sukan Paralimpik Tokyo itu, selamat mendarat kira-kira jam 5.20 petang bersama pemenang pingat perak kategori 107 kilogram (kg) Jong Yee Khie menaiki penerbangan MH9117 dari Narita Jepun.
Turut sama dalam penerbangan ialah jurulatihnya Jamil Adam dan pembantu jurulatih, Azwan Ali Baderam.
Ketibaan dua wira negara ini disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalannya,Datuk Seri Ti Lian Ker, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah, Jabatan Belia Sukan Negara (JBSN), Datuk Dr. Wasitah Mohd Yusof.
Bonnie bukan sahaja merangkul emas malah lebih manis turut melebur rekod Paralimpik baharu milik Rasool Mohsin dari Iraq dilakukan di Rio 2016 iaitu 227 kg dengan angkatan 228 kg menerusi percubaan ketiganya dalam saingan di Tokyo International Forum.
Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.
Add Comment