Permotoran

KBS dan SIC komited teruskan program pembangunan bakat sukan permotoran


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menghormati keputusan bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan PETRONAS untuk tidak menyambung kontrak penajaan kepada Sepang Racing Team (SRT) yang berakhir pada penghujung tahun ini.

KBS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama SIC akan tetap komited dan meneruskan program pembangunan bakat dan pelumba sukan permotoran negara selaras dengan objektif asal pembentukan program sukan permotoran dua roda.

“KBS menghormati keputusan ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PETRONAS atas kerjasama dan sokongan padu yang diberikan selama ini terhadap pembangunan sukan permotoran tanah air.

“KBS tetap percaya bahawa kerjasama strategik bersama PETRONAS masih boleh diadakan semula pada suatu masa kelak.

“Atas kepentingan pembangunan sukan permotoran tanah air, KBS dengan kerjasama SIC tetap komited dan akan meneruskan program pembangunan bakat dan pelumba sukan permotoran negara selaras dengan objektif asal pembentukan program sukan permotoran dua roda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, berikutan keadaan industri permotoran yang terkesan dengan penularan Covid-19, KBS dan SIC ketika ini sedang merangka pelan keseluruhan bagi pelumba negara di kejohanan antarabangsa.

“Perbincangan lanjut antara pihak KBS dan SIC masih diteruskan untuk mencari jalan terbaik dalam menentukan hala tuju yang sesuai untuk tahun-tahun akan datang.

“Sokongan daripada KBS dalam usaha ini tidak pernah terhenti. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, KBS dan SIC sudah meningkatkan lagi usaha pembangunan bakat-bakat daripada peringkat akar umbi, yang tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, tetapi lebih kepada penambahbaikan pembangunan dan perancangan masa depan.

“Adalah menjadi harapan KBS dan SIC supaya Malaysia dapat melahirkan lebih ramai bakat-bakat sukan permotoran tanah air yang kompetitif untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pada ketika ini, pelumba negara masih memberikan tumpuan penuh kepada baki perlumbaan untuk musim ini. KBS menyeru supaya rakyat Malaysia terus memberikan sokongan yang padu kepada pelumba negara kita untuk kekal fokus dan dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan yang disertai,” tegasnya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: