Permotoran

Aksi berani Binder julang trofi juara MotoGP Austria


Oleh: JJFIRDAUS

PELUMBA KTM, Brad Binder melakukan perjudian dengan tidak menukar kepada tayar basah ketika hujan memberikan beliau kemenangan dalam kelas MotoGP di Grand Prix Austria.

Keadaan hujan yang melanda Litar Red Bull Ring ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan menjadikan keadaan huru-hara apabila banyak pelumba mengambil kesempatan untuk menukar kepada tayar basah.

Binder meneruskan saingan dan berjaya mendahului hingga tamat perlumbaan yang menyaksikan salah satu penamat paling dramatik pernah disaksikan dalam sejarah MotoGP.

Pelumba Afrika Selatan itu mendahului 9 saat untuk mengatasi dua pelumba Ducati, Franco Bagnaia dan Jorge Martin untuk kemenangan kedua beliau dalam MotoGP.

 

Pendahulu keseluruhan dari Yamaha, Fabio Quartararo pula menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh dan mengukuhkan kedudukan dengan 181 mata, 47 mata dihadapan Bagnaia dan juara bertahan, Joan Mir.

Malang menimpa Johan Zarco yang terjatuh dan terkeluar dari saingan sekaligus membuka jalan kepada Quartararo untuk mendahului lebih jauh dalam senarai kedudukan pelumba.

Pelumba pilihan peminat, Valentino Rossi menggembirakan semua penonton yang hadir apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tangga kelapan walaupun pada suatu ketika berada pada kedudukan podium.

Ini adalah keputusan terbaik Rossi dalam tahun terakhirnya dalam MotoGP dan mengejar podium ke-200 dalam kariernya.

Rossi gembira dengan keputusan di Austria. Foto: TheDoctor

Sementara itu dalam perlumbaan Moto2 pula, Raul Fernandez muncul juara manakala pelumba negara Hafizh Syahrin sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-18 dan gagal memungut sebarang mata.

Manakala perlumbaan Moto3 pula menyaksikan pelumba Sepanyol, Sergio Garcia berjaya memenangi perlumbaan dramatik dengan menewaskan pelumba Turki, Deniz Oncu dengan hanya 0.027 saat.

Perlumbaan akan diteruskan di Litar Silverstone, England pada 29 Ogos ini dan pastinya akan menyajikan perlumbaan yang menarik.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: