Permotoran

De Vries rangkul trofi juara Formula E musim ketujuh


Oleh: JJFIRDAUS

PERLUMBAAN kereta elektrik FIA Formula E musim 2022-2021 menobatkan juara baharu pelumba dari Mercedes EQ, Nyck De Vries.

De Vries bergelar juara musim ketujuh ini walaupun hanya menamatkan perlumbaan E-Prix Berlin di tangga ketujuh.

Norman Nato dari pasukan Venturi menjuarai perlumbaan yang dilangsungkan di Litar Lapangan Terbang Tempelhof yang menyaksikan 13 pelumba berpeluang muncul sebagai juara dunia menjelang perlumbaan terakhir dalam satu saingan yang paling hampir dalam sejarah Formula E yang bermula pada tahun 2014.

De Vries muncul juara selepas persembahan konsisten di sepanjang musim ini dengan berjaya mencatatkan dua kemenangan di E Prix Diriyah, Arab Saudi dan E Prix Valencia, Sepanyol dengan 10 lagi pemandu berjaya memenangi perlumbaan 15 pusingan ini.

Perlumbaan E Prix Berlin yang dramatik ini menyaksikan dua pemandu yang berpeluang muncul juara, Mitch Evans dan Eduardo Mortara tersingkir pada permulaan perlumbaan.

Jentera Evans gagal memulakan perlumbaan dan dilanggar oleh Mortara yang gagal mengelak sekaligus menyaksikan bantuan kereta keselamatan terpaksa digunakan sebelum perlumbaan dihentikan seketika selepas bendera merah dikibarkan.

Perlumbaan kembali bersambung dibelakang kereta keselamatan dan seorang lagi calon juara, Jack Dennis tersingkir selepas gagal mengawal jentera beliau di selekoh pertama.

Nato mengambil kesempahan dengan mempamerkan pemanduan cemerlang untuk mendahului hampir keseluruhan E Prix ini sebelum muncul juara E Prix buat kali pertama.

Norman Nato

Oliver Rowland menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan seorang lagi pelumba Mercedes EQ, Stoffel Vandoorne berjaya menaiki podium di tangga ketiga.

Dengan kejayaan De Vries dan Vandoorne, Mercedes EQ muncul sebagai juara berganda apabila turut menjadi juara dunia kategori pengeluar dengan 183 mata mengatasi Jaguar Racing di tangga kedua.

Musim ketujuh FIA Formula E ini berlangsung dengan lancar walaupun masih berdepan ancaman pandemik Covid-19 tetapi mereka bakal kehilangan tiga pengeluar untuk musim hadapan apabila Audi, BMW dan Mercedes mengumumkan akan meninggalkan siri ini selepas perlumbaan ini berakhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading