
SARAWAK United FC (SUFC) terlepas peluang untuk menerajui Liga Premier selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor FC II pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi.
Satu mata diraih Sarawak United meletakkan mereka kekal di tangga ketiga berkongsi 28 mata bersama Terengganu FC II di kedudukan kedua, dengan mengekori rapat Negeri Sembilan FC yang menerajui takhta liga dengan 29 mata.
Pada aksi tersebut, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan baik apabila saling berbalas serangan, dengan kedua-dua barisan pertahanan pasukan dipaksa bekerja keras menangkis percubaan ke arah pintu gol.
Pelawat yang gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir hampir mendahului tuan rumah pada minit ke-19, namun percubaan rembatan deras pemain tengah import Alexander Agyarkwa Ameyaw terkena tiang.
Tersentak dengan serangan itu, Sarawak United pantas melancarkan gerakan balas sebelum penyerang import dari Korea Selatan Lee Chang-hoon terlepas peluang keemasan meledak gol pembukaan juga melalui rembatan dari luar kotak penalti sedikit melewati palang gol Selangor FC II.
Memasuki babak kedua, Selangor FC II memulakan babak kedua dengan jaringan gol menerusi T.Saravanan pada minit ke-49.
Penjaga gol Selangor FC II Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman cemerlang menidakkan beberapa percubaan berbahaya pasukan lawan dalam usaha memastikan gawang dari dibolosi.
Namun kealpaan barisan pertahanan Selangor FC II membawa padah apabila Sarawak United bijak menghidu ruang untuk meledak gol penyamaan hasil percubaan pemain gantian Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-87.
Selangor FC II kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 22 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.






Add Comment