Bola Sepak

KDA FC harungi jadual ketat, “Harap tiada lagi kes positif Covid-19”


Aidil Sharin dan barisan pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan tiada lagi kes positif berlaku. Foto: KDAFC

KELAB Kedah Darul Aman (KDA FC) bersedia untuk kembali beraksi selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu meskipun mengakui jadual padat yang perlu ditempuh.

Menurut ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, dia tetap berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas usaha untuk membantu pasukan yang terlibat walaupun rayuan yang dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar hanya pemain positif sahaja dikuarantin ditolak.

Jelas Aidil Sharin, barisan pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan tiada lagi kes sebegini berlaku pada masa hadapan selain akan lebih tegas menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Liga Malaysia berlangsung.

“Kedah memahami MFL telah sedaya upaya membantu Kedah dalam hal ini dengan cuba melakukan rayuan agar pemain yang positif sahaja dikuarantin.

“Namun arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dihormati dan wajib diikuti dalam soal kuarantin pemain serta pegawai.

“Kami harap tidak ada lagi berlaku kes positif Covid-19, bukan sahaja membabitkan Kedah tetapi mana-mana pasukan lain kerana banyak rombakan terpaksa dilakukan kerana terpaksa dikuarantin.

Pemain-pemain Kedah bakal kembali beraksi selepas menjalani kuarantin selama dua minggu. Foto: KDAFC

“Mengenai jadual perlawanan, saya akui memang tiada pilihan buat Kedah selain mengharungi jadual yang telah disusun MFL biar pun nampak ketat.

“Namun saya faham tiada pilihan lain buat MFL dan harap semua pemain terbaik saya dapat diturunkan dalam tiap perlawanan yang kita harungi,”katanya.

Pindaan jadual Liga Malaysia 2021 telah dilakukan selepas lima perlawanan Liga Super membabitkan Kedah dan tujuh perlawanan Liga Premier melibatkan Kuching City terpaksa ditunda susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam pasukan tersebut.

Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia 2021, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos 2021 manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos 2021 sehingga 12 September 2021.

Sementara bagi Liga Premier, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos 2021 dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos 2021 sehingga 18 September 2021.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: