Bola Sepak

MKN tolak permohonan MFL


Ab Ghani mengharapkan semua pasukan berhati-hati dan tingkatkan pematuhan SOP.

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahukan hanya pegawai dan pemain positif Covid-19 sahaja perlu menjalani proses kuarantin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan keputusan MKN itu menjadi salah satu faktor pihaknya terpaksa melakukan pindaan jadual Liga Super dan Liga Perdana.

Ujarnya, penolakan dari MKN dibuat selepas mengambil kira kes harian Covid-19 yang semakin serius dan menular dengan cepat dalam negara ketika ini.

“MFL akur dengan keputusan MKN yang mana individu yang didapati positif wajib menjalani prosedur operasi standard (SOP) selama 14 hari bagi memastikan mereka sembuh dan mengelak daripada penyebaran Covid-19 dalam pasukan.

“Jadi pemain yang kontak rapat (tidak positif) pula dikehendaki menjalani kuarantin 10 hari di mana mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan sepanjang tempoh kuarantin.

“MFL berharap semua pasukan lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap kepatuhan SOP Covid-19 bagi memastikan tiada kes berlaku lagi selepas ini demi menjamin kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Ab Ghani.

Terdahulu MFL mengemukakan permohonan kepada MKN supaya hanya pemain dan pegawai yang positif Covid-19 sahaja dikuarantin dan bukannya membabitkan seluruh pasukan.

Langkah itu dianggap boleh mengelak perlawanan membabitkan pasukan yang didapati berdepan jangkitan virus berkenaan terpaksa ditunda, sekali gus tidak mengganggu kelancaran Liga M.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: