
Oleh : SUBKHI SUDARJI
KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) akan meneliti kembali rakaman video insiden sepakan penalti yang diberikan kepada Penang FC sebelum mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menilai serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas Noor Azriel Baharudin yang mengadili perlawanan membabitkan Penang FC menentang MUFC, Sabtu lalu.
Ini berikutan keputusan sepakan kontroversi yang diberikan Noor Azriel kepada Penang FC selepas pemain mereka Rafael Vitor dijatuhkan pertahanan MUFC, Sukwon Jang pada minit ke 73 untuk gol pertama tuan rumah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Justin Lim berkata kepada CAKAPSUKAN, tindakan ini perlu dilakukan bagi memastikan mutu pengadilan lebih berkualiti pada masa akan datang.
“Ini bukan kali pertama situasi yang sama berlaku kepada pasukan, sebelum ini juga ada dan kita telah mengambil tindakan yang sama ke atas pengadil berkenaan. Saya difahamkan pengadil berkenaan telah digantung tugasnya untuk mengadili perlawanan.
“Untuk dia (Noor Azriel) kami akan kemukakan aduan rasmi kepada FAM untuk dinilai dan diambil tindakan sewajarnya termasuk mengantung tugasnya sekiranya didapati berlakunya kesilapan atas keputusan yang dibuat,” jelasnya.
Justin Lim yang juga merupakan pemilik MUFC menjelaskan tindakan yang dilakukan ini bukan sahaja buat MUFC tetapi juga lain-lain pasukan agar Liga Malaysia berjalan tanpa sebarang kontroversi yang tidak sepatutnya.
“Kami tidak mahu kejadian yang menimpa MUFC berlaku pada pasukan lain pada masa akan datang, jadi sebab itu kami mahu FAM segera mengambil tindakan agar kredebiliti pengadil Liga M tidak dipertikaikan,” jelasnya.
Pada perlawanan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang yang berakhir dengan kemenangan Penang FC, 1-2, ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selain tuan rumah yang kekurangan seorang pemain selepas menerima layangan kad merah, Penang FC dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Vitor.
Pelawat bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain import MUFC, Giovane Gomes pada penghujung masa sebenar separuh masa kedua sebelum Sheriddin Boboev menjaringkan gol kemenangan Penang FC pada masa kecederaan.
Add Comment