
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin masih lagi menghuni tampuk kerusi nombor satu menerajui badan pengelola pertandingan bola sepak domestik profesional itu.
Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Rakan Kongsi MFL kali kelima 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Jelas Hamidin, penggantinya akan diumumkan dalam masa terdekat seperti yang telah dijanjikannya pada Kongres FAM ke-57, Mac lalu.
“Kita tunggu masanya saya akan tunaikan janji yang telah dibuat, bila sampai masanya nanti akan ada maklumkan dari MFL,” jelasnya.
Ditanya mengenai calon yang bakal mengisi kekosongan jawatannya, Hamidin menyerahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL
“Mengenai pengganti, saya masih belum letak jawatan, itu akan diputuskan ahli Lembaga Pengarah MFL. Dalam klausa ahli lembaga pengarah ada kuasa untuk tentukannya,” tegasnya.
Untuk rekod, pada 13 Mac lalu, Hamidin yang juga merupakan Pesiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Keputusan itu dibuat oleh Hamidin sejurus diumumkan menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu pada Kongres FAM ke-57 di Putrajaya.
Enggan konflik kepentingan peribadi timbul menjadi punca beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan yang digalasnya hampir dua tahun.





Add Comment