
Oleh : SUBKHI SUDARJI
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pasukan yang didapati gagal mematuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga tercetusnya kes Covid -19 dalam pasukan.
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan telah dibuat bersama Ahli Lembaga Pengarah dan semua pasukan telah mengambil maklum.
“Selepas ini mana-mana pasukan yang gagal mematuhi serta mengikuti SOP yang digariskan akan dijatuhkan hukuman. Pekeliling akan dikeluarkan MFL mengikut peraturan yang telah kita luluskan.
“Jadi perkara ini tidak akan berlaku lagi,” jelasnya pada sidang media selepas mesyuarat Rakan Kongsi MFL kali kelima 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Ditanya bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas pasukan adakah berbentuk pemotongan mata atau sebaliknya, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Bentuk hukuman telah dibincangkan dalam mesyuarat tadi dan dimaklumkan kepada rakan kongsi. Kenyataan rasmi dari MFL akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” tegasnya.
Untuk rekod, MFL terpaksa merubah jadual saingan Liga Super dan Liga Premier selepas pemain dan pengawai pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Kuching City FC (KCFC) disahkan positif Covid-19.






Add Comment